PELAKON lama atau baharu, semuanya pasti akan melewati musim 'kemarau', sama ada kurang tawaran ataupun bersara dari dunia seni.

Itulah situasi yang dihadapi bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz sekarang, iaitu Munir atau nama sebenarnya Abdul Munir Awang.

Menurutnya kepada mStar Online, pihak stesen televisyen kini lebih memilih kemunculan bakat baharu di media sosial berbanding pelakon-pelakon sedia ada.

"Ramai tanya kenapa saya tidak aktif berlakon dan menyanyi. Tapi bagaimana nak aktif kalau produksi tak panggil berlakon.

"Sejujurnya sudah tujuh bulan saya tidak menerima tawaran melainkan jemputan menjadi pengacara majlis-majlis kecil.

"Dulu kami dinilai berdasarkan bakat, tapi kini stesen TV nilai artis mengikut jumlah pengikut Instagram.

"Jadi kalau boleh stesen TV pandanglah bakat kami artis-artis lama ni," ujarnya kesal.