KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pengecualian pelaksanaan umur persaraan minimum 60 tahun yang diberi kepada ratusan majikan kerana akan memberi implikasi buruk kepada pekerja.

Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata antara implikasinya ialah pekerja akan digaji sebagai pekerja kontrak dan hilang kelayakan menerima perlindungan ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya 60 peratus selain faedah kerja lebih rendah.

"MTUC membantah keputusan Menteri Sumber Manusia (Datuk Richard Riot) terhadap pengecualian umur persaraan minimum kepada 258 syarikat yang dimohon di bawah Seksyen 18 (Akta Umur Persaraan Minimum 2012).

"Menteri menyatakan ia dipersetujui oleh Badan Tripartite adalah tidak benar merujuk kepada minit mesyuarat yang ada bersama MTUC," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga melahirkan kekecewaan kerana pengecualian itu diberikan kepada syarikat bertaraf antarabangsa seperti BASF Petronas dan kumpulan Boustead.

Abdul Halim berkata pelaksanaan umur persaraan minimum itu diperjuangan MTUC sejak 1996 kerana peningkatan jangka umur rakyat Malaysia dan peningkatan simpanan KWSP.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang menetapkan umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun berkuat kuasa 1 Julai lepas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.