DIINSPIRASIKAN daripada sebuah kisah yang pernah mencetuskan sensasi di media Amerika Syarikat, Molly’s Game menjadi antara sajian filem yang wajib ditonton.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara awal Februari depan,  Molly’s Game dibarisi pelakon hebat seperti Idris Elba, Jessica Chastain dan Kevin Costner.

Setakat ini, media antarabangsa memberi reaksi positif terhadap filem genre biografi ini, apatah lagi apabila ia diarahkan sutradara yang cukup di kenali di Hollywood, Aaron Sorkin.

Buat pertama kalinya, karyawan ini cuba mengarahkan filem yang diangkat daripada memoir kisah Molly Bloom.

Molly’s Game adalah gambaran daripada sisi hidup Molly Bloom, iaitu atlit Ski yang sebelum ini sering beraksi di pertandingan bertaraf antarabangsa.

Di samping profesionnya sebagai atlit, wanita tersebut turut mengikuti permainan poker eksklusif bersama taruhan wang ringgit yang sangat tinggi dan ramai pemainnya terdiri daripada golongan elit dan selebriti.

Lebih 10 tahun terlibat dalam permainan berkenaan, Molly akhirnya berjaya mengumpul aset sendiri tetapi konflik mula timbul apabila pihak berkuasa mula menyiasat kegiatannya.

Kisah sarat mesej

Berkongsi di sebalik pembikinan filem yang menelan belanja lebih AS$30 juta ini, Aaron mengakui cukup tertarik mahu mengarah kerana mesejnya yang besar.

“Sebelum mengarah, saya menulis dahulu skripnya dan saya dapati ada sesuatu yang menarik mengenai kehidupan Molly.

Tidak hanya glamor yang menghimpit hidupnya kesan dari kegiatan yang dilakukan, tetapi lebih daripada itu,” kongsi Aaron seperti yang dipetik menerusi sebuah temu bual.

Pada masa sama, sutradara ini juga mengambil beberapa inisiatif di dalam menghasilkan sebuah filem yang baik.

“Untuk mengarahkan sebuah filem yang diilhamkan daripada kisah benar, saya banyak bertanya dan bergaul dengan ramai orang yang saya rasa boleh berikan inspirasi. Selain itu, saya juga kerap bertanya apa yang baik dan sebaliknya kepada rakan produksi juga,” katanya lagi.

Aaron juga turut menyifatkan pemilihan aktres, Jessica Chastain untuk memainkan peranan sebagai Molly merupakan pilihan tepat kerana dia merupakan seorang pelakon bijak.

“Bagi saya dia boleh bawa apa sahaja watak. Buat saya teruja untuk mahu bekerjasama dengannya lagi untuk projek seterusnya,” akui Aaron jujur.

Terharu

Sementara itu, Jessica Chastain yang turut dicalonkan sebagai Aktres Terbaik di Anugerah Golden Globe menerusi lakonan hebatnya di dalam filem berkenaan menjelaskan, dia cukup terharu apabila berpeluang berlakon di samping pengarah dan pelakon lain.

“Sudah pasti saya teruja sebab memang mahu kerjasama dengan Aaron dan impian ini tercapai. Kami saling memahami dan rasanya itulah cara yang boleh memberi keserasian di antara satu sama lain di set,” kongsi Jessica yang sebelum ini turut dikenali menerusi filem The Martian dan The Zookeeper's Wife.

“Setakat ini, maklum balas yang diberikan penonton terhadap filem ini cukup baik dan saya tidak sabar untuk lihat apa komen penonton di negara luar juga,” beritahu Jessica yang turut berpeluang menemui Molly sendiri untuk mengetahui apakah sebaliknya yang berlaku.

“Banyak yang saya belajar daripadanya. Kami ada meluangkan masa bersama membuatkan saya bersalah kerana pernah memberi pandangan berbeza terhadapnya sebelum kami bersua,” sambung Jessica yang turut mengikuti permainan pooker sebenar sebelum ke set penggambaran.

Bercakap mengenai perkembangan terkininya selain Molly’s Game pula, aktres asal California, Amerika Syarikat ini sedang menantikan sebuah lagi filem baru yang akan ditayangkan iaitu X-Men: Dark Phoenix.