KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dijangka mengumumkan rangka kerja Dasar Industri 4.0 Nasional sebelum pertengahan tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong berkata, rangka kerja kini di peringkat akhir untuk disiapkan itu akan diumumkan Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Ia sedang dirangka. Kita berusaha supaya rangka kerja itu tidak menjadi agenda yang hanya dipacu kerajaan, oleh itu banyak kerjasama dilaksanakan dengan pihak industri, termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

“Kita (Miti) mengambil sedikit masa dalam proses input kerana perlu merangka.

"Kami berharap dapat​umumkannya sebelum pertengahan tahun ini,” katanya selepas melawat kilang​Saiyakaya (M) Sdn Bhd di sini, semalam.

Pada 11 Disember lalu, Mustapa memaklumkan Miti sedang menyelaras lima kumpulan kerja merangkumi pelbagai kementerian bagi menghasilkan rangka kerja Dasar Industri 4.0 Nasional.

Pihak terbabit ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Kewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Selepas rangka kerja itu dibentangkan di Parlimen, kerajaan akan memutuskan kementerian mana yang akan memacu pelaksa-naan Industri 4.0 Nasional,” katanya.

Mengenai perdagangan, Tee Yong berkata, sektor itu diunjurkan mencatat pertumbuhan positif pada 2018 namun tidak sekukuh prestasi 2017.

Beliau berkata, pencapaian pada 2017 adalah cemerlang apabila angka eksport merekodkan pertumbuhan dua digit, sekali gus memberi asas lebih tinggi pada tahun ini.

“Oleh itu, usaha yang dirancang kerajaan (untuk mempertingkatkan perdagangan) akan memainkan peranan dalam membantu Malaysia (untuk terus mencatat pertumbuhan).

“Kita yakin untuk merekodkan pertumbuhan dua angka (berbanding bulan) akan mencabar, oleh itu ia akan menjadi pertumbuhan satu angka,” katanya.

Pada November 2017, perdagangan keseluruhan Malaysia melonjak 14.8 peratus kepada RM157.05 bilion berbanding bulan yang sama 2016.

Semasa tempoh itu, eksport meningkat 14.4 peratus kepada RM83.5 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi​yang pernah dicatatkan selepas RM82.62 bilion pada Mac 2017, manakala import meningkat 15.2 peratus kepada RM73.55 bilion.

Lebihan dagangan pula, RM9.95 bilion sekali gus menjadi bulan ke-241 berturut-turut​merekodkan lebihan dagangan sejak November 1997.

Berdasarkan bulanan, perdagangan keseluruhan, eksport dan import masing-masing meningkat 1.9 peratus, 1.5 peratus dan 2.4 peratus.

Bagi 11 bulan pertama 2017, perdagangan keseluruhan melonjak 20.8 peratus berbanding tahun kepada RM1.622 trilion, dengan eksport mencatatkan RM856.05 bilion (meningkat 20.4 peratus) manakala import bernilai RM766.07 bilion (menokok 21.2 peratus).

Lebihan dagangan pula sebanyak RM89.98 bilion, 13.6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama setahun lepas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyasarkan 40 syarikat akan menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) pada 2018.
  • KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya dua vendor bertaraf jaguh nasional, serantau dan antarabangsa pada setiap tahun.
  • KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membuka peluang kepada syarikat peringkat pertengahan menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), bagi gelombang empat.
  • SEBANYAK 18 syarikat anchor menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) yang menjadi agenda utama dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di bawah Fokus Keempat, iaitu memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera.