• Barisan pelakon yang menjayakan Dendam Sarakit. Barisan pelakon yang menjayakan Dendam Sarakit.
1 /

DEMI cinta, pasangan suami isteri, Sarakit dan Rafiq berjanji sehidup semati walau apa pun halangan mendatang.

Namun, cinta Sarakit tidak kesampaian apabila dia yang berbadan dua dirogol dan dibunuh dengan kejam ketika Rafiq tiada di rumah.

Apabila qarin Sarakit dipuja oleh Dina untuk menambat hati Rafiq, dia kembali membalas dendam terhadap mereka yang menyebabkan kematiannya.

Sedangkan, Rafiq langsung tidak mengetahui kematian isterinya dan meneruskan hidup dengan 'Sarakit' seperti biasa.

Dendam Sarakit yang menggantikan drama Waris, bermula hari ini, jam 10 malam.

Melihatkan sinopsis drama arahan Fairuz Loy dan skrip oleh Azmy Ariff ini, pasti ramai yang terbayangkan filem seram terkenal Thailand, Nang Nak.

Jalan cerita yang hampir sama membuatkan Dendam Sarakit tidak terlepas daripada dibandingkan dengan filem yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dulu itu.

Bagaimanapun, Fairuz menepis dakwaan itu dengan menganggap persamaan jalan cerita sebagai kebetulan.

"Sekiranya ada pihak yang menganggap drama ini meniru Nang Nak, mungkin itu hanya pandangan peribadi mereka.

"Apa yang boleh saya katakan, penulis skrip telah membuat kajian sendiri sebelum menghasilkan jalan cerita drama ini.

"Jika penonton menonton keseluruhan 13 episod Dendam Sarakit, saya yakin mereka dapat melihat perbezaan tema drama ini dengan Nang Nak," katanya.

Sebulan di Betong, Thailand

Bercerita lanjut kelainan drama yang menampilkan lakonan mantap Fouziah Gous dan Zain Hamid itu, kata Fairuz, dia sebenarnya tidak terlalu menekankan elemen seram.

"Drama ini bukanlah berkisar mengenai hantu, sebaliknya saya lebih banyak tonjolkan berkenaan roh jahat, qarin dan isu agama.

"Perjalanan ceritanya juga menumpukan kepada karakter utama itu sendiri selain memfokuskan kekuatan hubungan cinta antara suami isteri," katanya.

Bagi memastikan Dendam Sarakit mendapat sentuhan berbeza daripada drama lain, menurut Fairuz, penggambaran dilakukan sepenuhnya di Betong, Thailand selama sebulan.

"Kita memilih Betong kerana persekitaran kampungnya yang agak berbeza dengan lokasi pedalaman yang selalu dilihat dalam drama lain.

"Lagipun, suasana di situ lebih realistik kerana lokasi dalam drama ini digambarkan di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Tak dapat 'izin'

Menjalani penggambaran di negara orang juga tidak memberi banyak masalah kerana jelas Fairuz, mereka mendapat kerjasama baik daripada Datuk Bandar dan pihak polis di sana.

Bagaimanapun, kru produksi drama terbitan Wayang Tinggi Production ini tidak terlepas daripada mengalami peristiwa yang boleh meremangkan bulu tengkuk.

Berkongsi pengalaman itu, menurut Fairuz, penggambaran yang sepatutnya dilakukan di sebuah rumah terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat 'keizinan'.

"Kami sempat merakamkan beberapa adegan di sebuah rumah keturunan Raja Bersiong.

"Bagaimanapun, keesokan harinya kami tidak dibenarkan lagi membuat penggambaran di situ kerana tuan rumah memberitahu 'nenek moyang' mereka kurang senang dengan kehadiran kami," katanya.

Bagi penonton yang sudah tidak sabar menantikan kesudahan cerita cinta Sarakit dan Rafiq, jangan lupa menonton Dendam Sarakit bermula malam ini.