MESKIPUN filem One Two Jaga arahan Nam Ron terpaksa dihentikan tayangan filem di lima buah pawagam namun pihak produksi sentiasa optimis.

Filem berkisahkan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah sebenarnya mendapat sokongan dari peminat termasuk Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

Penerbitnya, Bront Palarae yang sentiasa berfikiran positif berkata, hari ini, pihak TGV Cinemas memaklumkan, pihak itu sudi untuk menyokong #OneTwoJaga dengan tambahan masa tayangan jika pawagam terisi dan tambahan pawagam jika ada permintaan.

Maklum balas positif dari netizen termasuk menteri.

"Saya sarankan anda semua membuat tempahan atau sebarang aduan secara online.

"Kutipan naik ke RM65,000 dan TGV Kuching ada tayangan #OneTwoJaga hari ini," katanya menerusi Twitter peribadinya.

Dalam pada itu, Bront Palarae turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah menonton.

Sementara itu, difahamkan, lima buah pawagam tersebut adalah GSC Times Square, GSC Mentakab, GSC Aeon Melaka, GAC Quill City Mall dan GSC Aman Jaya. One Two Jaga ditayangkan di 58 buah pawagam seluruh negara.

Menurutnya, dia harus menerima kenyataan bahawa inilah situasi sebenar industri perfileman tempatan.

“Saya berlapang dada kerana inilah hakikatnya. Nam Ron mungkin sedikit kecewa tetapi dia juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh mereka yang benar-benar pergi menonton.

“Apa yang lebih saya syukuri adalah 99 peratus mereka yang telah menonton One Two Jaga terkesan dan terhibur dengan filem ini,” katanya.

Ketika artikel ditulis, filem yang dibikin dengan kos RM1.5 juta hanya mengutip pulangan sebanyak RM65,000.

One Two Jaga dibintangi oleh Zahiril Adzim, Ameerul Affendi, Iedil Putra dan Ario Bayu yang mula ditayangkan sejak 6 September lalu mengisahkan tentang penularan gejala rasuah dalam kalangan anggota dan pegawai polis yang semakin berleluasa.