PENYANYI dan usahawan Datuk Fazley berkongsi berita gembira bersama para peminat dan pengikutnya di laman Instagram apabila  memenangi anugerah Outstanding F&B Lifestyle Award pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 pada Jumaat.

“Alhamdulilah. Saya dan jenama @sukasucrebistro baru sahaja menerima anugerah ‘Outstanding F&B Lifestyle Award’ at Selangor International Business Summit 2018 @selangorsummit,” tulisnya sebagai kapsyen pada satu perkongsian video majlis tersebut.

Mengakui kejayaan tersebut amat bermakna buat dirinya, kata Fazley,  semua itu tidak akan berlaku tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada isterinya, Datin Azrene Ahmad.

“Di sebalik kejayaan seorang suami pasti ada isteri yang hebat di belakangnya. Itulah pesan arwah bapa saya apabila saya bertanya apa rahsia kejayaan beliau.

“Arwah bapa sentiasa menyanjung tinggi pengorbanan dan sokongan isterinya yakni ibu saya @rsd.umi. Kini tiba masanya saya mengucapkan penghargaan terhadap isteri saya yang terlalu banyak berkorban untuk setiap usaha dan kejayaan saya.

“Terima kasih Adik sayang @azrene_ahmad di atas segala-galanya, begitu tabah adik hadapi segala tohmahan dan hinaan awal terhadap usaha abang menceburi bidang F&B, adik tetap berdiri teguh di belakang abang! Love you so very much #AdikSayang!,” luah Fazley.