PENYANYI dari Indonesia, Melly Goeslaw baharu mengeluarkan single yang berjudul Bintang di Hati.

Lagu ini juga merupakan soundtrack bagi filem 'Dancing In The Rain'.

Lagu ini menceritakan kisah persahabatan sejati.

Menerusi laporan Tribun News, Melly menciptakan lagu ini sempena pemergian penyanyi pop idola remaja Indonesia, Nike Ardilla.

"Ya, Nike adalah sahabat dekat Melly Goeslaw dulu."

Menurut Melly, dirinya menyimpan sejuta cerita bersama sahabatnya tersebut.

Pada 19 Mac 1995, industri muzik Indonesia dikejutkan dengan kematian Nike dalam kemalangan jalan raya di Jalan Martadinata, Bandung. Dia pergi ketika namanya berada di puncak sebagai penyanyi popular.

Ketika kejadian, Nike baru berusia 19 tahun.

Melalui perkongsian di Instagram miliknya pula, gara-gara lagu Bintang Dihati banyak yang menghantar mesej bertanya berkenaan cerita dirinya bersama sahabat.

"Terlalu banyak cerita perjalanan kami berdua, kalau dibuat buku gak habis 4 buku kayaknya (tidak cukup empat buah buku).

"Saya kasih (sayang) tau 2 hal (perkara) baik dari dia yang gak (tidak) pernah saya temui dari kawan saya yang lain sampai saat ini," tulisnya.

Melalui perkongsian tersebut juga, Melly bercerita sahabatnya itu hobinya suka membeli belah, jadi jika ke luar negara dan akan membawa pulang lima lagi beg tambahan.

"Apabila sampai di rumah dia akan memanggil semua teman-teman dan menyuruh memilih mana yang berkenan dan bakinya barulah untuk dirinya sendiri.

"Dan apabila ditanya kenapa, jawabnya, nanti dia boleh beli lagi," katanya lagi.

Tambah Melly lagi, Nike juga tidak mempunyai pengurus tetap, jadi siapa sahaja boleh jadi pembantunya.

"Kalau ditanya berapa harga kalau ingin mengundangnya menyanyi, jawabnya 'terserah'.

"Saya gak (tidak) heran (hairan) namanya harum sampai sekarang, kerana hatinya sangat cantik," tulisnya.