PELAKON, Mei Fen berkata dia menangis sewaktu mendengar lagu penyanyi tersohor Datuk Sudirman Haji Arshad.

Mei yang juga merupakan mahasiswi di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) tahun akhir, menangis kerana baru dapat memahami di sebalik lirik lagu Warisan itu.

"Saya bermula dalam industri hiburan dan seni di pasaran Melayu ini dengan Teater Takhta 3 Ratu diikuti Zombie La La.

"Pada waktu itu saya tak pandai bercakap bahasa Melayu apatah lagi untuk memahami. Namun, bila saya sudah mula belajar di ASWARA, perlahan-lahan kini saya sudah pandai bercakap.

"Di ASWARA juga saya tinggal di asrama dan serumah dengan empat pelajar Melayu.  Dan saya ada seorang kawan yang mana saya anggap sebagai guru bahasa saya," katanya jujur.

Mei Fen atau lebih mesra dipanggil Li Po ditemui ketika sidang media Teater Tanah Akhirku di Istana Budaya yang dijadualkan pada 28 Ogos sehingga 2 September 2018, sebentar tadi.

Antara barisan pelakon yang terlibat seperti Erma Fatima, Nina Nadira, Izzue Islam, Nave VJ, dan Angeline Tan.