MEMUAT naik gambar bersama anak tiri di Instagram, pelakon, Mawar Rashid dikecam netizen hanya kerana menyebut 'my little Raden'.

Menurut pelakon drama Tundukkan Playboy ini, itu adalah caranya menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak tirinya yang sudah dianggap sebagai anak kandung sendiri.

"Pertama sekali, apabila saya sebut my 'Little Raden', itu kerana saya jujur dan ikhlas menyayangi dia.

"Pabila dalam waktu yang sesuai, jika saya menyayangi sesuatu atau seseorang, saya akan post dan luahkan perasaan cinta saya terhadap apa sekalipun.

"Terutamanya anak-anak tiri saya ini, yang mana anak-anak ini saya telah anggap seperti anak kandung saya sendiri.

"Jika ALLAH beri saya rezeki cahaya mata satu hari nanti, tiada perbezaan diantara anak kandung saya dan anak-anak tiri saya. Saya akan terapkan sifat kasih sayang yang sama rata dan adil, supaya mereka membesar dalam ketenangan dan penuh kebahagian," tulisnya.

Mawar menjelaskan dia menggunakan laman IG itu juga sebagai satu galeri untuk memori terindah bersama orang tersayang.

"Jika gambar itu sesuai dan cantik untuk saya post di ruangan kenangan saya di media sosial, saya akan post demi mengingati kenangan terindah itu.

"Seperti mana saya post tentang suami saya, tentang ibu dan ibu mertua saya, keluarga saya dan keluarga Raf juga. Tiada niat yang lain selain itu. Kerana cara saya, saya akan menyimpan kenangan yang membahagiakan saya," katanya lagi.

Aktres berusia 23 tahun ini juga memberitahu, ibu kandung kepada anak-anak hasil perkongsian Raf Yaakob tentunya bersyukur kerana dia melayan anak-anaknya seperti anak sendiri.

Malah, Mawar cukup memahami perasaan seorang ibu tunggal dan menghormati bekas isteri suaminya, Maria Suleiman.

"Saya tahu ibu kandung kepada anak-anak tiri saya ini seorang yang penyayang juga, seorang single mother yang cekal dan anak-anak inilah dunia akhiratnya, sudah semestinya dia bersyukur bila saya ikhlas menyayangi anak-anak ini seperti anak saya sendiri.

"Dan pabila saya bercakap tentang perasaan saya menyayangi anak-anak saya ini, tiada istilah kata yang saya tidak menghormati ibu kandungnya. Saya amat menghormati ibu kandung anak-anak saya ini.

"Mummy saya juga seorang single mother dari saya berumur 5 tahun, saya memahami perasaan seorang single mother. Dan saya tahu betapa payahnya membesarkan anak-anak sebagai single mother.

"Mummy saya menjaga kami tujuh orang adik beradik, tanpa bantuan sesiapa. Susah payah and pahit getir mummy saya membesarkan kami dengan penuh kasih sayang dan kesabaran," luahnya.

Menurut Mawar suaminya pasti mahukan perkara yang sama melayan anak-anaknya seperti anak sendiri dan sepanjang bergelar suami, dia telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Mawar Rashid sah bergelar isteri kepada Raf Yaakob dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Royale Chulan, 9 November tahun lalu.