AKTRES, Zara Zya enggan mengulas lanjut mengenai status yang dimuat naik di Instagramnya, pada Jumaat lalu.

Status dimuat naik pelakon itu seperti memberi signal dia dan kekasih hatinya juga merupakan seorang pelakon, iaitu Hafreez Adam sudah putus cinta.

Malah hal itu mengundang peminatnya terus bertanya bagi mendapatkan jawapan.

Ditemui semalam, Zara menyifatkan apa yang berlaku adalah asam garam dalam perhubungan.

"Saya tak sepatutnya memuat naik kenyataan terbabit. Namun masa tu hati saya tengah panas dan terlalu ikutkan perasaan.

"Biasalah adat orang yang bercinta ada pasang surutnya. Cuma, dalam hal ini saya mahu berkongsi apa saya rasa.

"Tapi bila ada yang menghantar mesej menegur dan menasihati, barulah saya tersedar," jelasnya.

Ditanya pula, adakah Hafreez ada meminta maaf?

"Dia ada memuat naik pernyataan maaf tetapi ia dibuat secara umum. Mungkin pernyataan maaf itu membabitkan hal kerja dia," katanya.

Hubungan cinta pasangan itu terjalin sejak tahun lalu ketika mereka bergandingan menerusi drama bersiri Monalisa.