SELEPAS tujuh bulan ‘mengembara’, penyanyi dan komposer, Datuk M Nasir berjaya menamatkan siri jelajah Konsert M Nasir... Kembara di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 7 November lalu.

Berjanji untuk tampil dengan kelainan, ternyata seniman unggul itu benar-benar menepati janjinya lantas berjaya memukau 10,000 peminat yang hadir.

Sememangnya tiada elemen kejutan, namun M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad tetap memberikan persembahan yang lebih mantap dan bertenaga.

Mana tidaknya, bagaikan mendapat satu ‘tenaga’ baharu, M Nasir mampu ‘merangsang’ peminatnya untuk berdiri, menari dan menyanyi bersama-samanya sekali gus ‘melupakan’ seketika usia sebenarnya yang sudah pun menginjak 58 tahun.

Tirai konsert dibuka menerusi persembahan menakjubkan daripada kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal sekali gus membantu menghangatkan lagi suasana, tepat jam 9 malam.

Kesempatan itu ternyata tidak disia-siakan oleh Fynn apabila mempersembahkan lagu-lagu popularnya iaitu Arjuna Beta, Terbang Tunduk, Tahu, Sepertinya dan single terbarunya, Suatu Pernah.

Tidak mahu peminat menunggu lama, M Nasir muncul dengan gimik mewarnakan dua kanvas kosong di kanan dan kiri pentas, setengah jam kemudian.

Menariknya, gimik itu dibuat khas demi peminatnya sebagai mengekspresikan bakat melukisnya di atas pentas sekali gus mewarnai suasana konsert dengan cara yang cukup unik.

Masakan tidak, selain mencipta nama sebagai penyanyi dan komposer tersohor, M Nasir juga adalah seorang pelukis yang hebat.

Tidak keseorangan, gimik itu turut diiringi pengarah dan pelawak, Sabri Yunus selain pertunjukan pencak silat yang dibawakan oleh dua anak muda.

Ia kemudian disusuli dengan tiga lagu, Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips dan Bukalah Hatimu tanpa henti dengan iringan tujuh pemuzik dan tiga penyanyi latar.

Pada masa sama, M Nasir turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan padu peminatnya sepanjang 40 tahun kariernya dalam industri seni.

“Selamat datang semua. Terima kasih kerana sudi hadir.

“Tahniah pada anda sekalian, sukar macam mana sekalipun, pokoknya anda sudi datang.

“Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Vokalis kumpulan Kembara itu terus mengikat tumpuan peminat dengan rangkaian lagu popularnya antaranya Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Hijab Kekasih, Bonda, Juwita, Kepadamu Kekasih, Sahabat Gua dan Malam.

Tidak sekadar menyanyi, ternyata M Nasir juga pandai menarik perhatian peminatnya dengan gayanya yang tersendiri.

Pada masa sama, M Nasir juga bijak berinteraksi dengan peminatnya bahkan gaya spontannya ketika berceloteh turut mengundang tawa selain benar-benar menikmati perjalanan konsert itu.

‘Kegilaan’ M Nasir!

Suasana konsert menjadi semakin hangat ketika M Nasir menyampaikan koleksi lagu ‘berbisanya’ seperti Raikan Cinta, Hati Emas dan Gerhana.

Malah, sesuai dengan genrenya yang agak rancak, ‘kegilaan’ penghibur itu dengan aksi lincah turut mengheret peminatnya untuk bersama-sama berdiri, menari dan menyanyi di bawah pentas.

Bahkan, di satu sudut di bawah pentas terdapat sekumpulan anak muda ghairah menari tarian zapin ketika penghibur berbakat besar itu mengalunkan seleksi lagu popularnya.

Bukan itu saja, persembahannya ketika mengalunkan lagu Keroncong Untuk Ana turut mengundang penonton untuk menyanyi serentak.

M Nasir yang turut sama teruja sekali lagi mengajak peminatnya untuk menyanyi dan menari bersama-samanya menerusi lagu berhantunya, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan Ada.

“Inilah peluang terakhir anda untuk berjoget,” selorohnya.

Stadium kembali gamat apabila lagu Mentera Semerah Padi berkumandang dan menjadi antara kemuncak terbaik konsert pada malam itu.

Malah, ia turut mendapat sorakan gemuruh daripada peminatnya.

Sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang bersorak agar meneruskan lagi konsert tersebut, M Nasir kemudiannya menyanyikan lagu Sentuhan Listrikmu.

Selepas terbuai seketika dengan alunan vokalnya yang mantap, M Nasir sekali lagi terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya sebagai tanda penamat konsert terbabit.

“Saya terpaksa mengucapkan selamat malam.

“Semoga kita dapat berjumpa lagi pada masa yang menyeronokkan, intim dan mendatangkan hasil di kemudian hari,” katanya sambil tertawa.

Dan sebagai hadiah istimewa buat semua peminat setianya, M Nasir mengakhiri persembahan dengan lagu Langgam Pak Dogo yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit, sekali gus menoktahkan siri jelajah konsert berkenaan.

“Saya mencuba untuk menyanyi sebuah lagu.

“Tapi, saya tak berapa hafal lagu ini. Ia adalah hadiah istimewa daripada saya untuk anda supaya anda tak marah saya apabila pulang nanti.

“Terima kasih dan selamat malam,” akhirinya.

Secara keseluruhannya, konsert selama tiga jam itu memperlihatkan keupayaan M Nasir menyampaikan 20 lagu popularnya sepanjang empat dekad penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Lebih membanggakan, dapat dilihat ‘aura sifu’ yang ada di dalam diri M Nasir sekali gus menjadi satu penanda aras bagi semua generasi dan mungkin tidak keterlaluan jika menganggapnya sebagai ‘hero’ muzik yang hebat.

Bahkan, peminat yang hadir juga teruja menghayati nyanyian dan falsafah yang diselitkan dalam setiap karya penyanyi dan komposer popular ini.

Sebelum ini, M Nasir telah menjelajah ke tiga lokasi di luar Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert solonya itu.

Tiga lokasi itu ialah Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, Pahang pada 24 Mei, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun) dan Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang (5 September).

Terdahulu, Stadium Malawati sudah dibanjiri dengan peminat setianya yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur seraya ingin menjadi sebahagian daripada sejarah 40 tahun M Nasir.

Lebih menarik lagi, sebelum konsert bermula, M Nasir menerusi syarikat miliknya, Luncai Emas mencari bakat baharu dalam bidang nyanyian menerusi program Let’s Nyanyi.

Sesi uji bakat program itu berlangsung di Stadium Malawati bermula seawal jam 11 pagi dan dibuka kepada semua peringkat umur.

Melengkapkan lagi portfolionya, M Nasir yang terkenal dengan watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang sudah pun melangsungkan dua konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Sang Pencinta pada 2013 dan Konsert Hati Emas Kembara,  tahun lalu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.