SELEPAS kembali aktif dalam bidang seni, penyanyi Liza Hanim mengakui sentiasa sibuk merencana jadual kerjanya agar tanggungjawabnya kepada keluarga dan kerja berjalan seiring.

Apatah lagi bila tiba sambutan Aidilfitri yang memerlukan dia meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga terutama emapat cahaya matanya, Marsya Qistina, 15, Marsya Qaireen, 9, Mohamed Salahudin, 7, dan Mohamed Ibrahim, 3.

“Raya memang sesuatu yang sentiasa dinantikan kerana pada ketika inilah kita dapat berkumpul dengan semua keluarga dan saudara mara.

“Jadi setiap kali raya, saya akan bercuti daripada aktiviti seni sekurang-kurangnya seminggu kerana mahu meluangkan masa bersama dengan keluarga.

“Jika dulu tanggungjawab saya hanya pada ibu bapa, tetapi kini kepada suami dan anak-anak yang tentunya mengharapkan saya sentiasa bersama mereka sepanjang sambutan Aidlfitiri,” jelas pelantun lagu Tibanya Raya Bahagia ini.

Tambah Liza, dia bertuah kerana syarikat pengurusannya semenjak dulu sentiasa memahami dan menghormati komitmennya kepada keluarga.

“Kalau zaman sebelum kahwin dulu, stesen TV suka panggil artis-artis yang tinggal di Lembah Klang untuk terlibat dengan program raya mereka yang disiarkan secara langsung.

“Memanglah tak ada masalah untuk kita sertai kerana tak balik kampung atau beraya luar Kuala Lumpur, tetapi perlu mengorbankan masa beraya dengan keluargalah.

“Jadi sejak dulu saya memang dah tetapkan, dalam tempoh seminggu raya kalau boleh saya mahu kosongkan jadual kerja untuk bersama keluarga. Alhamdulillah setakat ini semua pihak menghormati permintaan saya,” katanya yang memilih pendekatan yang sama sehingga kini.

Memilih untuk tampil sedondon dengan anak-anak setiap kali menyambut Aidilfitri, kata Liza, suasana itu menambahkan keceriaannya menyambut raya bersama keluarga.

“Bukan senang nak pakai baju raya ikut tema warna yang sama, apatah lagi bila anak-anak dah semakin membesar. Masing-masing ada pilihan mereka sendiri dan ada di antaranya yang tak minat nak pakai baju sama dengan keluarga.

“Bagaimanapun saya seorang yang suka merancang dan buat persiapan dari awal. Sebelum raya lagi dah plan raya pertama nak pakai baju apa, raya kedua warna apa. Jadi tak adalah nak pening kepada fikir semua itu,” katanya yang saban tahun meraikan Aidilfitri di rumah keluarganya di Klang dan mertua di Petaling Jaya.

Berkongsi tentang kenangan rayanya sendiri ketika awal bergelar artis, Liza mengakui sangat merindui momen ketika dia bersama rakan-rakan artis yang lain terlibat dengan pelbagai program raya di RTM.

“Waktu awal jadi bergelar penyanyi dulu, memang saya banyak terlibat dengan program raya di TV di mana pada waktu itu, RTM cukup meriah dengan pelbagai program raya.

“Paling saya ingat tentulah program Konsert Temasya Aidilfitri yang sentiasa mengumpulkan ramai artis popular dan disiarkan secara langsung pada raya ketiga setiap tahun.

“Orang lain dah balik kampung, saya dan rakan-rakan artis yang terlibat gigih buat rehearsal semata-mata nak memastikan program siaran langsung itu berjalan lancar,” imbasnya.