• Liyana Jasmay - Fahtuddin Liyana Jasmay - Fahtuddin
1 /

TANGGAL 2 Februari 2013 pastinya menjadi tarikh paling bermakna buat aktres yang juga penyanyi, Liyana Datuk Jasmay apabila sah menjadi isteri kepada Fathuddin Mazlan, 29.

Mengibaratkan segala yang berlaku seperti sebuah kisah dongeng, siapa sangka, teguran ringkas yang dimulakan oleh Fathuddin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), membuka jalan buat keduanya mengenali hati budi.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya pada ketika ini. Saya tidak sangka, lelaki yang pernah saya minati ketika zaman persekolahan, dan juga jiran saya kini sudah menjadi suami.

“Kalau nak ikutkan, rasa cinta mula berputik bila dia ajak saya temankan dia pergi makan malam sempena hari jadi kawannya di Pavilion.

“Malah, saya juga terasa seperti mimpi. Kami juga pernah keluar bersama sebanyak lima kali sebelum dia melamar menjadi kekasihnya,” ujar Liyana yang ditemui selesai majlis pernikahannya di Pacific Ballroom, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.

Wanita berusia 25 tahun ini turut menyifatkan suaminya sebagai seorang yang penyabar, baik dan comel membuatkan dia begitu selesa bersama lelaki tersebut.

Malah, Liyana turut tidak keberatan untuk mengimbau detik dia dilamar menjadi suri hidup Fathuddin.

“Sebelum saya berangkat ke New York, dia beritahu dia mahu ‘chop’ saya. Mula-mula saya tidak faham, tapi selepas dia beritahu mahu ibu bapanya berjumpa ibu bapa saya dan dia tanya mengenai cincin yang saya suka, baru saya faham,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Bagi Fathuddin pula, sikap Liyana yang periang, cantik dan pandai menghormati orang tua membuatkan dia jatuh cinta dengan wanita berkenaan.

Katanya, sebagai seorang suami, mereka selepas ini akan cuba menerima kekurangan masing-masing dan membaiki kekurangan itu demi kebahagiaan rumah tangga mereka kelak.

“Saya senang bersama dengan dia kerana kami sekepala dan boleh geng,” katanya.

Bulan madu sambil bekerja

Ditanya mengenai karier seninya selepas berkahwin, Liyana berkata, dia tidak akan berhenti dari berlakon atau menyanyi, namun akan mengurangkan karier seninya itu.

Katanya, dia juga akan mengikut suaminya menetap di Sabah kerana Fathuddin bekerja di sana.

“Mungkin dalam sebulan, saya akan balik dua ke tiga kali dan bergantung kepada keadaan. Jika tiada perkara penting, saya akan duduk di sana sahaja.

“Dari segi tawaran pula, saya masih berlakon, cuma akan mengehadkan tawaran kerana kini saya sudah mempunyai tanggungjawab yang baru,” jelasnya.

Liyana berkata, selesai sahaja majlis resepsi di sebelah pihak lelaki nanti, dia akan terbang ke New York untuk menyelesaikan penggambaran filem pendek terbitan syarikatnya dan seterusnya akan singgah di London.

“Saya ibaratkan, berbulan madu sambil bekerja. Tapi saya rasa tujuan ke London selebihnya adalah untuk membeli-belah kerana kalau ikutkan Din (Fathuddin), bulan madu bagi dia adalah berada di tepi pantai dan jauh dari kedai.

“Jadi mungkin apabila kembali ke Sabah, kami akan cari tempat percutian yang menarik untuk berbulan madu,” katanya yang menerima seutas gelang emas bernilai RM5,500 sebagai mas kahwin.

Menyentuh mengenai cahaya mata, Liyana berkata, mereka berdua tidak merancang untuk mempunyai cahaya mata, namun menerima andai ALLAH SWT mengurniakan anak dalam masa terdekat ini.

Kontroversi satu ujian

Dalam pada kegembiraan membuat persiapan, nama Liyana dan Fathuddin hangat diperkatakan ekoran kontroversi gambar pra-perkahwinan mereka.

Biarpun teruk diperkatakan kerana aksi ‘mesra’ yang dipamerkan, Liyana dan Fathuddin mengakui tidak sedikit pun tertekan dengan kontroversi itu.

“Saya tak baca pun berita berkaitan perkara itu dan memang tak ambil tahu. Saya hanya fokus pada persiapan sahaja,” ujar Fathuddin.

Liyana berkata, dia memaklumkan perkara itu kepada Fathuddin, namun sikap tenang yang dipamerkan Fathuddin membuatkan dia juga tidak terasa tertekan.

“Bagi saya, benda ini dah lali dan saya dah biasa dengannya. Esok lusa, bila ada gosip baru orang akan lupa tentang ini. Kami anggap apa yang terjadi sebagai satu dugaan yang perlu kami hadapi dengan sabar. Saya sendiri dah jelaskan dengan Fathuddin yang benda ini perkara biasa terjadi dalam industri ini.

Sepanjang penglibatan saya dalam industri pun, inilah kali pertama saya dikaitkan dengan kontroversi sebegini,” ujarnya tenang.