$entry.content.caption.value
Penyampai Radio Suria FM, Linda Onn sememangnya beruntung kerana masih mendapat tempat di hati peminat, biarpun kini kurang bergiat aktif dalam bidang seni dan hanya tertumpu kepada kerjayanya sebagai penyampai dan ahli perniagaan.
Sibuk di konti dan menguruskan perniagaan, bagaimanapun, tidak membantutkan hasrat Linda bertemu peminat setianya. Tambahan lagi peminatnya itu warga emas berusia 77 tahun.
Rasa begitu dihargai apabila seorang yang berpangkat nenek, Wan Serimas Wan Jusoh atau lebih mesra dipanggil Mak Wan begitu setia mengikuti perkembangan penyampai radio ini.
Mengakui peminat merupakan tunjang utamanya dalam meneruskan kehidupan sebagai anak seni, Linda terharu apabila kerjayanya mendapat sokongan peminat yang datang daripada pelbagai lingkungan umur.
Menurut Linda, peluang bertemu Mak Wan di kediaman warga emas itu di Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur memberi erti yang cukup besar buat dirinya sebagai penyampai radio.
Biarpun suaranya hanya didengari melalui gelombang radio, namun tidak menghalang Linda mempunyai peminat setia mendengar celotehnya setiap hari.
“Saya terharu apabila mendapat tahu nenek berusia 77 tahun sentiasa mengikuti perkembangan karier saya bermula dari awal pembabitan saya di radio sebelum ini sehinggalah sekarang.
“Sejurus sahaja mendapat tahu daripada seorang staf Suria FM mengenai nenek ini, saya tergerak hati untuk berjumpa secara peribadi dengannya,” katanya yang tidak mengambil masa lama untuk menetapkan pertemuan itu.
Bagi menggembirakan hati warga emas itu, Linda Onn mengunjungi kediaman Mak Wan bersama penyampai Suria FM yang lain iaitu Halim Othman, Myra dan Bob Ringgo.
Menurut Linda, yang lebih membuatkan dia terharu apabila Mak Wan turut menunjukkan koleksi gambar penyampai radio itu sejak awal pembabitannya sehingga kini.
“Bukan hanya artikel, malah iklan yang ada gambar saya pun ada dalam simpanan Mak Wan.
“Selain itu, Mak Wan turut menampal gambar saya di pintu almarinya dalam bilik dan saya diberitahu Mak Wan akan menatap wajah saya setiap hari sebelum tidur,” katanya yang pertama kali berkunjung ke rumah peminat.
Tambah Linda lagi, sebelum ini dia hanya bertemu peminat di majlis ataupun di restoran.
Sementara itu, Mak Wan mengaku berbesar hati menerima kunjungan personaliti pujaannya itu.
“Mula-mula mendapat tahu Linda ingin berkunjung ke sini, Mak Wan rasa berdebar-debar kerana ini kali pertama bertentang mata dengan Linda.
“Mak Wan sukakan Linda kerana celoteh dan tingkah lakunya yang manja di radio. Bagi Mak Wan, suara Linda seperti buluh perindu,” katanya yang mendoakan karier Linda berjalan lancar.
Pada pertemuan itu, Linda turut menghadiahkan telekung, sejadah dan tasbih sebagai penghargaan kepada peminat setianya itu.





