SETELAH setahun mendirikan rumah tangga dengan usahawan Malaysia, Engku Emran, pelakon dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella berkata dia bahagia melayari kehidupan berkeluarga.

Menerusi laporan Hot Detik, Bella mengakui mempelajari banyak perkara dan harus mengutamakan suami sebelum melakukan sebarang keputusan.

"Alhamdulillah, apabila sudah berkahwin kita perlu berkongsi banyak perkara dan kena selalu bertolak-ansur.

"Apa-apa pun yang kita nak lakukan tidak boleh buat keputusan sendiri, memang banyaklah yang saya belajar," katanya.

Ditanya mengenai sambutan ulang tahun pertama perkahwinan tersebut, Bella berkata tiada sebarang acara dianjurkan mereka, sekadar makan malam berdua sahaja.

"Tak ada apa-apa majlis, kami berdua cuma makan malam di Kuala Lumpur kerana pagi esoknya saya perlu pulang ke Indonesia," ujarnya.

Bella dan Engku Emran bernikah pada 8 September 2017 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.