$entry.content.caption.value
Figura berdarah campuran Melayu-Inggeris, Zain Saidin, 27, nampaknya semakin mendapat tempat di hati peminat di negara ini.
Popularitinya kini semakin meningkat dengan pelbagai tawaran lakonan menerusi drama bersiri di setiap corong stesen televisyen.
Malah rezeki pelakon ini semakin mencurah-curah apatah lagi, drama lakonannya, Gemersik Kalbu yang disiarkan di TV3 mendapat perhatian ramai sehingga Zain turut mendapat tempiasnya.
Menurutnya, pembikinan drama siri 24 episod itu ternyata memberi pengalaman manis baginya sepanjang bekerjasama dengan pengarah terkenal, Heykal Haniffah.
“Saya selesa bekerjasama dengan pengarah drama ini kerana dia adalah seorang yang profesional dalam kerja dan tidak pernah memberi tekanan kepada pelakon dalam drama ini.
“Oleh itu, saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam menghidupkan watak kerana pengarah sentiasa memberi penerangan yang teliti dan rakan pelakon yang lain juga sedikit sebanyak memberi tunjuk ajar kepada saya.” katanya.
Zain berkata, selain membintangi drama adaptasi daripada novel popular hasil nukilan Anis Ayuni, dia juga bakal memulakan penggambaran menerusi drama Mulanya Di sini untuk saluran televisyen RTM yang turut dilakonkan aktres Miera Liyana.
“Cabaran dalam drama ini, saya perlu menukar penampilan dengan membotakkan rambut untuk menyesuaikan diri dengan watak yang diberikan kepada saya.
“Apa pun, cabarannya saya akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan pembikinan drama tersebut,” katanya.
Zain mahu cuba bidang nyanyian
Seakan satu fenomena, semakin ramai pelakon mula memberanikan diri untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
Tidak terkecuali, Zain turut mengatakan dia bakal mengeluarkan album single pertamanya pada 2012 yang mengandungi tiga lagu rap berjudul Transformasi, Cinta Jelita dan Niat Khalifah.
Menurutnya, ketiga-tiga lagu itu merangkumi tiga unsur dan mesej berbeza iaitu kisah cinta, keagamaan dan kehidupan.
“Waktu kecil dahulu, saya amat meminati kumpulan KRU dan dari situlah minat rapping mulai timbul dan saya menjadikannya sebagai satu hobi.
“Bagaimanapun, bakat lakonan yang ada pada saya lebih menyerlah berbanding nyanyian, oleh itu saya mula menceburkan diri dalam lakonan dan sekarang masa sesuai untuk saya ketengahkan bakat nyanyian,” katanya.
Gosip naikkan populariti
Tidak dinafikan nama Zain semakin dikenali sejak dikaitkan dengan aktres jelita, Rozita Che Wan. Apatah lagi, baru-baru ini, Zain meluangkan masa menemani wanita itu dan anak-anaknya ke Genting Highland.
Menurutnya, dia tidak menafikan gosip tersebut dapat menaikkan namanya memandangkan Rozita pelakon yang sememangnya mempunyai nama kukuh dalam industri tanah air.
“Saya tidak nafikan kenyataan sesetengah pihak itu kerana bagi saya gosip juga memainkan peranan seseorang artis lebih dikenali.
“Saya percaya populariti saya bermula lakonan dan selepas itu baru dikaitkan gosip," katanya.
Menyentuh hubungannya dengan pelakon wanita terbabit, Zain menyatakan mereka sekadar kawan rapat dan tidak pernah ada ikatan cinta antara mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





