Andy Mak
Andy Mak

RENTETAN dakwaan pengarah Dampak bahawa dia digugurkan daripada produksi filem itu tanpa diberi sebarang alasan munasabah, pihak penerbit, Displaymax Sdn Bhd telah menghantar notis menuntut Andy Mak meminta maaf secara terbuka dalam tempoh seminggu.

Tempoh tujuh hari itu bermula 7 September lalu.

Mak menerima notis peguam kelmarin, meminta maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan yang dibuat terhadap mereka.

Menurut Mak, “saya tidak akan buat tuntutan maaf kerana yakin saya berada di pihak yang benar dan saya akan lawan untuk menuntut hak yang sepatutnya milik saya."

“Apa yang ingin saya katakan di sini ialah mereka cuba menukar cerita dengan mengatakan saya cuba untuk memburukkan nama syarikat mereka dengan membuat kenyataan kepada media sebelum ini," katanya lagi.

“Saya buat kenyataan kepada media pun selepas segala usaha untuk berunding tidak dilayan oleh pihak mereka," katanya.

Dia menambah, pihak penerbit juga tidak pernah memberi respons terhadap semua khidmat pesanan ringkas dan e-mel yang dihantar dengan tujuan untuk berunding mengenai baki bayaran yang patut diterimanya sebagai pengarah dan pemilik asal skrip filem Dampak.

Menurut surat peguam, writ saman akan dikeluarkan jika Andy tidak berbuat demikian dalam tempoh seminggu.

Dia mendakwa tidak menerima baki bayarannya sebagai pengarah dan penulis skrip asal bagi filem terbabit, berjumlah RM48,000 selain dia juga digugurkan jawatan sebagai pengarah tanpa diberi sebarang sebab selepas penggambaran Dampak dimulakan Julai lalu.

Sementara itu, Chai Min Kuan selaku penerbit bersama berkata, “saya tidak boleh memberi sebarang komen."

"Saya sudah serahkan perkara ini kepada peguam dan mahu menyelesaikan perkara ini dengan cara yang betul," kata Min Kuan kepada Sinar Harian Online.

Filem Dampak membariskan pelakon popular seperti Aaron Aziz, Farid Kamil, Scha Al-Yahya dan Juliana Evans.

Dampak berkisarkan kehidupan lima adik-beradik yang dibesarkan oleh seorang tok guru di kampung yang melatih mereka seni mempertahan diri untuk membalas dendam terhadap musuhnya yang menetap di bandar.

Filem ini dijangka menemui penonton tahun depan.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.