• Ahmad Nawab, Jamal & Khadijah kembalikan nostalgia menerusi ‘Konsert Gemilang’ Ahmad Nawab, Jamal & Khadijah
1 /

JIKA dilihat perkembangan industri muzik tanah air kini, banyak yang sudah berubah lebih-lebih lagi dengan kehadiran bakat baru yang muncul bak cendawan selepas hujan. Pun begitu, jasa dan bakat yang pernah disumbangkan penyanyi terdahulu tidak perlu diketepikan malah kehebatan mereka dalam mewarnai industri ini seharusnya dihargai dan diingati sepanjang zaman kerana mereka adalah pelopor industri hiburan hari ini.

Tanpa disedari, masih ramai peminat muzik tempatan yang mengikuti dan merindui perkembangan penyanyi-penyanyi lagenda yang pernah bersinar suatu ketika dahulu. Melihatkan situasi itu, buat julung kalinya, sebuah konsert mega yang menggabungkan tiga figura ternama, Datuk Ahmad Nawab, Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim bakal menemui peminat dalam masa terdekat ini.

Konsert yang menemukan seniman negara, raja pop dan penyanyi lagenda ini bakal berlangsung di tiga lokasi iaitu Kuantan, Singapura, dan Kuala Lumpur, bermula 29 September hingga 13 Oktober ini.

Penganjurnya, Danny Chan dari AMG Management Group (AMG) berkata, penonton yang hadir bukan sahaja dihidangkan hiburan nyanyian, malah peminat berpeluang berkongsi kisah nostalgia pengalaman ketiga penyanyi yang membuat persembahan dalam bentuk sketsa.

“Konsert ini bakal membawa penonton merentasi masa dan pengalaman tiga penyanyi yang selama ini dikenali melalui hasil kerja dan kolaborasi sejak 30 tahun lalu.

“Mungkin ramai yang masih belum mengetahui perjalanan awal mereka dalam karier nyanyian dan ini adalah masa yang sesuai untuk dikongsikan bersama peminat,” katanya.

Tambahnya, konsert yang bakal berlangsung selama tiga jam itu masih mengekalkan gubahan muzik asal supaya keaslian lagu yang dibawa penyanyi masih sama kerana setiap satunya mengandungi nostalgia yang tersendiri.

“Tujuan konsert ini dijalankan adalah untuk mengubat rindu peminat yang sudah lama menunggu kemunculan penyanyi kesayangan mereka dan saya percaya masing-masing mempunyai pengikut setia.

“Kalau boleh, kami mahu konsert ini mengingatkan kembali zaman-zaman kegemilangan terdahulu dan disebabkan itu, kami cuba kekalkan gubahan lagu yang bakal dipersembahkan nanti,” jelasnya.

Kelainan untuk peminat: Ahmad Nawab

NAMANYA dalam industri hiburan bukanlah calang-calang, bakat dan kebolehan seniman negara ini sememangnya tiada tandingan.

Terkenal sebagai komposer yang pernah menggubah lebih 2000 lagu, Ahmad Nawab, begitu semangat menerajui konsert gandingan julung kalinya bersama Jamal Abdilah dan Khadijah Ibrahim.

Turut mengetuai konsert tersebut, beliau cuba menampilkan kelainan demi menawan hati peminat.

“Saya menyifatkan konsert ini sebagai konsert yang penuh dengan memori peribadi kami bertiga kerana setiap pengalaman kami dalam industri ini akan dikongsikan bersama peminat.

“Saya amat berharap konsert ini dapat mencatat satu sejarah buat kami bertiga,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan konsert, Ahmad Nawab mengatakan latihan vokal akan dijalankan seminggu sebelum konsert dijalankan.

“Pada konsert itu nanti, kami bertiga masing-masing akan menyanyikan antara 8 hingga 9 lagu solo dan duet di mana pada kemuncak konsert kami akan bergabung menghangatkan lagu konsert ini.

“Walaupun masa untuk membuat latihan agak singkat, saya percaya pada kebolehan Jamal dan Khadijah.

“Mereka adalah penyanyi yang profesional dan pada saya kehebatan mereka masih belum ada tandingannya,” katanya.

Khadijah menangis teringat Latiff Ibrahim

SELAIN bakal mempersembahkan beberapa buah lagu popularnya, Khadijah Ibrahim turut menyerikan konsert dengan dendangan lagu abangnya, Allahyarham Latiff Ibrahim.

Menurut Khadijah, menyanyikan lagu Allahyarham bukan sesuatu yang mudah buat dirinya malah dia perlu menguatkan diri untuk menghayati lagu tersebut dengan baik.

“Hubungan saya bersama arwah memang rapat semasa dia masih hidup. Saya akui perasaan rindu pada arwah semakin terasa apabila saya mula menyanyikan lagunya sehingga ada ketika saya menangis.

“Pada awalnya saya perlu menyanyikan dua lagu arwah yang bertajuk Nora dan Pilihlah Aku. Oleh kerana tidak kuat dan belum bersedia untuk menyanyikan lagunya, lagu Nora akan dipersembahkan oleh penyanyi baru Firdaus dan saya hanya akan menyanyikan satu lagu sahaja.” katanya.

Khadijah berkata, tidak banyak persediaan yang dilakukan untuk beraksi pada konsert tersebut kerana baginya bidang nyanyian adalah antara perkara yang sudah sebati dengan hidupnya.

“Apa yang penting, waktu tidur perlu cukup dan kerana saya akan memerlukan tenaga yang banyak untuk beraksi di pentas nanti.

“Saya amat berharap semua yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan peminat juga akan berpuas hati dan terhibur dengan persembahan kami nanti,” katanya.

Berkata mengenai album terbaru, Khadijah mengatakan buat masa terdekat ini dirinya masih belum berkesempatan untuk membuat perancangan terhadap perkara itu.

Impian Jamal jadi kenyataan

PERTAMA kali melibatkan diri dalam persembahan konsert terbesar bersama gandingan Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir, Jamal Abdillah mengakui bangga dan teruja untuk berkongsi pentas.

Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, hasrat bergandingan dua penghibur hebat ini akhirnya tercapai walaupun telah mengenali satu sama lain sejak awal pembabitan dalam industri.

“Saya gembira hasrat untuk bergabung dalam satu konsert bersama Ahmad Nawab dan Khadijah Ibrahim akhirnya tercapai. Saya mahu lakukan konsert ini sebaik mungkin kerana tidak mahu sia-siakan peluang ini.

“Pada masa yang sama, saya mahu menghiburkan peminat yang tidak pernah putus beri sokongan kepada saya untuk terus memperjuangkan bakat saya dalam bidang ini,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai perancangan karier nyanyiannya, Jamal mengatakan dia sedang merancang untuk menjalankan konsert mini jelajah di mana setiap satu konsert akan menampilkan lagu-lagu daripada 20 albumnya yang terdahulu.

“Ia masih lagi dalam perancangan saya tapi saya target untuk jalankannya pada 2013 nanti. Mungkin dalam konsert itu nanti, ada beberapa penyanyi lain yang akan turut serta.

“Saya amat berharap perancangan itu akan berjaya dijalankan. Sebagai seorang penyanyi, saya akan teruskan karier ini selagi termampu sebagai penghargaan kepada peminat,” katanya.