BERKONGSI mengenai penglibatan rakan-rakan seperjuangannya, penyanyi berusia 62 tahun ini melahirkan rasa terharu apabila nama-nama besar seperti M. Nasir, Hattan, Awie dan Ella memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran konsert itu.

"Mereka bukan calang-calang penyanyi dan ketika memikirkan projek ini, saya terus terbayangkan mereka.

"Alhamdulillah, tanpa banyak cerita kesemuanya bersetuju untuk turut serta.

"Apa yang membuatkan saya bangga, mereka tidak meletakkan bayaran tinggi meskipun mempunyai nama besar dalam industri seni," katanya.

Bercerita mengenai perjalanan konsert, ujar Ramli, mereka akan membawakan lagu-lagu yang berkaitan alam dan kehidupan. Malah setiap penyanyi berpeluang menyampaikan dua atau tiga lagu hit masing-masing mengikut konsep yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat konsert yang sedih kerana konsert ini bukan untuk mengenang penderitaan sebaliknya memberikan semangat baharu kepada mangsa-mangsa terlibat," katanya.

Ditanya adakah akan ada kesinambungan bagi konsert ini, akui Ramli, dia berbesar hati untuk menganjurkannya lagi jika sambutan yang diterima nanti di luar jangkaan.

"Apa pun, kita tunggu untuk konsert pertama, jika ia menjadi, tidak mustahil untuk dilakukan lagi," katanya.

Tambah Ramli, dia sangat mengalu-alukan sokongan artis-artis lain dalam menjayakan konsert tersebut.

"Bukan daripada aspek persembahan sebaliknya kehadiran mereka ke konsert ini.

"Jika benar mahu membantu, cukup dengan membeli tiket persembahan dan memeriahkannya.

"Lagipun jika terlalu ramai artis yang membuat persembahan, saya bimbang konsert ini menjadi festival pula," katanya.

Sasar kutipan RM500,000

Yakin dengan sokongan peminat, Ramli menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 pada konsert tersebut dan keseluruhan dana akan mengisi Tabung Pasca Banjir di bawah pihak Kumpulan AmBank.

Selain Kelantan, dana tersebut akan turut disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang, Perlis, Terengganu dan Perak.

"Insya-ALLAH, dengan sokongan dan keprihatinan masyarakat dan peminat-peminat kami, jumlah tersebut pasti akan dapat direalisasikan.

"Setakat ini banyak pihak telah menunjukkan minat dan saya yakin selain hadir untuk membantu, konsert ini juga pasti menghiburkan mereka yang hadir nanti," katanya.

Ramli yang juga Pengarah Urusan Rasamusic Sdn Bhd memberitahu, beliau sangat terharu apabila beberapa syarikat Bumiputera lain seperti Marhaen Production, Warisan Sound, Mewah Event dan Gua Orang Lama turut menghulurkan bantuan untuk menjayakan misi berkenaan.

Hattan, M Nasir teruja

Hadir sama di majlis sidang media tersebut, Hattan dan M Nasir menyatakan rasa teruja mereka kerana diberi kepercayaan oleh Ramli menyertai misi konsert itu.

Kata Hattan, dia sangat memahami penderitaan yang dialami mangsa bencana berkenaan sementelah berpeluang turun padang menyampaikan bantuan.

"Bagi saya, ini adalah inisiatif terbaik untuk menyatukan penyanyi dan peminat mereka untuk sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan.

"Peluang yang ada tidak mungkin dilepaskan lebih-lebih lagi konsert ini punya misi dan objektif yang sangat besar maknanya kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, pelantun lagu Kembara pula memberitahu, pengalaman berdepan bencana banjir sewaktu menetap di Paya Jaras membuatkan dia lebih faham mengenai perasaan mangsa.

"Walaupun tidak seteruk ini tetapi bencana banjir pasti meninggalkan kesan kepada kita.

"Sebab itu, apabila dipelawa untuk turut serta saya tidak menolak, saya faham bukan mudah jika kita berada di tempat mereka.

"Setiap tahun terpaksa melalui perkara yang sama," ujar M Nasir yang berharap konsert tersebut akan mendapat sokongan peminat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :