KONSERT Kilauan Emas Musim Ketiga minggu ini menyaksikan dua peserta tersingkir. Edy dan Malia diumum sebagai peserta yang mendapat markah terendah minggu ini. Terlupa lirik selepas memulakan beberapa rangkap lagu Seruan nyata menjadi penamat bagi perjalanan peserta, Edy.

Meskipun Edy terlupa lirik, penonton terus memberi semangat dengan tepukan gemuruh. Apa yang menarik, Edy diberi kejutan istimewa oleh Kilauan Emas 3 apabila motosikal berkuasa tinggi miliknya dibawa masuk ke dalam Auditorium MBSA.

"Kadang-kadang perkara seperti ini (lupa lirik) berlaku juga pada penyanyi profesional. Saya faham. Lain kali, kamu kena tenang. Konsentrasi itu penting," kata juri profesional, Datuk Ramli MS. Meskipun tidak dikritik juri, namun percubaan berani Malia menyampaikan lagu yang dipopularkan Tina Turner, What's Love Got To Do With It juga nyata tidak berjaya memikat hati penonton.

"Kalau nak fikir usia, nak bawa lagu ini, bukan senang. Walaupun malam ini tak semput sangat, saya terhibur. "Awak boleh buat, cuma ada kerisauan di wajah. Sepatutnya tak boleh ada kerisauan itu," kata Ziana Zain. Konsert ketiga ini dimulakan dengan persembahan peserta dari Johor, Din yang membawakan lagu Pawana.

Din juga sempat menunjukkan kebolehan bermain drum. Kemudian, pentas diambil alih oleh Rina yang menyampaikan lagu Ku Ke Udara Lagi. Sama seperti minggu lalu, Rina mendapat kritikan dari juri profesional.

"Dah tiga minggu kamu menyanyi tiga jenis lagu yang berlainan. Kamu guna vibrator yang sama, jadi ia agak 'lama'. "Nafas kamu pendek. Tak sedap. Awal-awal tak sedap, lepas itu kamu 'pick up'," kata Ramli MS.

Kemudian persembahan menghiburkan disampaikan oleh peserta dari Kedah, Idris ketika menyanyikan lagu Aku Penghiburmu. Lagu tersebut dihadiahkan buat isterinya yang menyambut ulang tahun, semalam.

Kemudian peserta paling comel, Ros terus menghiburkan penonton dengan lagu Kemesraan. Alina pula kembali menggegarkan pentas dengan lagu yang dipopularkan Gun N' Roses, Sweet Child O' Mine.

Menurut juri jemputan, Rostam Zulkhairi Said, Alina memiliki keyakinan yang tinggi. "Satu persembahan yang menghiburkan. Saya rasa awak ada keyakinan yang tinggi. "Malam ini, awak buat pilihan lagu yang paling tepat," katanya.

Seterusnya, Silah yang menyampaikan lagu Jangan Marah Lili dipuji Ramli MS. "Kadang-kadang, penyanyi profesional nyanyi pun, 'di dalam mati'. "Tapi kamu, dah tiga lagu saya dengar kamu nyanyi, jiwa kamu sangat hidup," katanya.

Persembahan terakhir dari Mior yang menyampaikan lagu May, Hakikat Perjuangan disertai dengan gimik istimewa apabila, penyanyi asal lagu tersebut, Mus May turut menyanyikan lagu tersebut bersamanya.

Empat anggota band Mior, Six Pax turut mengiringi persembahannya.

Akui terkejut dengan kehadiran Mus, Mior tetap berjaya memberikan persembahan yang 'memecah' pentas.

Persembahan penutup diserikan oleh penyanyi popular tahun 80-an, Nik Putra (Kain Cinta Putih), Afee Utopia (Maya Percintaan), Nizam Laksamana (Gugurnya Bunga Cinta), dan Olan (Cinta Bandar Tasik Selatan).