KEMELUT rumah tangga yang melanda tidak menjejaskan emosi dan semangat Noryn Aziz untuk meneruskan kerjaya dan kehidupannya.

Menurut Noryn, 41, dia sentiasa berfikiran positif dan merasa bertuah kerana dikelilingi individu-individu yang ikhlas menyayanginya.

"Kalau saya kata tak rasa apa-apa, itu tipulah. Tapi saya sentiasa cakap dengan diri sendiri, saya kini sedang menghadapi pertandingan dan saya perlu sentiasa fokus.

"Bagi saya, kenapa kita kena bazirkan masa termenung dan sebenarnya kita boleh halakan tenaga itu pada perkara yang lebih positif.

"Alhamdulillah, saya juga bersyukur dengan adanya pengurus, ibu dan bapa yang sentiasa memberi sokongan. Selama 20 tahun saya dalam industri, walaupun on off tapi mereka tetap di sisi," katanya ketika  ditemui semasa sidang media Konsert Soul Sisters yang diadakan di Acme Bar Cafe, Pavilion, Kuala Lumpur, semalam.

Noryn bersama Misha Omar dan Siti Sarah Raisuddin bakal bergabung suara dalam Konsert Soul Sisters yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April 2019.

Sementara itu, ditanya perkembangan rumah tangganya, Noryn berkata, dia tidak dapat memberi apa-apa kenyataan kerana kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.

"Sebenarnya saya bukan tak nak cerita tapi tak boleh nak kongsi sebab kes saya masih dalam proses mahkamah dan peguam juga nasihat saya untuk tidak bercakap mengenai hal ini kerana bimbang saya tersilap kata.

"Kalau ikutkan saya memang jarang bercerita mengenai hal peribadi dan saya lebih selesa untuk meletakkan diri saya dalam keadaan tenang sahaja.

"Apatah lagi saya dalam proses untuk membina semula nama dan karier saya. Jadi semua masalah itu buat masa ini, saya simpan dalam kotak, balut cantik-cantik, letak di atas almari dan tiba masanya nanti baru kita lihat kembali," katanya.

Noryn atau Norazmahwati Abd Aziz dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah diijabkabul pada 22 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin memfailkan  tuntutan nusyuz terhadap isterinya itu.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, pada Julai lalu.

Bagaimanapun, Raja Kamarul Bahrin sebagai plaintif dan Noryn selaku defendan tidak hadir pada prosiding sebutan kali ketiga di hadapan Penolong Pendaftar Syarie, Norhakimah Awang pada 10 Oktober lalu.