• Sidang media badan bertindak bersama Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) ,Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Khamis lalu, di Finas Sidang media badan bertindak bersama Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) ,Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Khamis lalu, di Finas
1 /

Laporan akhbar tempatan mengenai kes pengarah cabul pelakon, baru-baru ini turut mendapat perhatian Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Perkara itu dibangkitkan dalam sidang media badan bertindak bersama  Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Khamis lalu, di Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Naib Presiden FDAM, Abdul Rahim Awan, ketika sesi sidang media berkenaan menegaskan, walau pun isu tersebut masih dalam siasatan polis, namun pihaknya memandang serius terhadap apa yang berlaku.

"Walau pun ia tidak melibatkan persatuan, tetapi pengakuan suspek memperkenalkan diri sebagai pengarah dipandang serius oleh kami.

"Selain mencemarkan dan menjejaskan imej, ini antara sebab kami mahu semua penggiat seni berdaftar dengan persatuan.

"Sekurang-kurangnya apabila perkara begini berlaku, pelakon boleh mengadu dengan kami," katanya.

Ujar Rahim lagi, jika ada ahli persatuan yang didapati bersalah dan terlibat dengan perkara sebegini, mereka juga akan bertindak menggantung keahlian mereka seumur hidup.

"Sebagai langkah keselamatan, setiap ahli akan diberikan kad keahlian, yang mana apabila uji bakat pelakon dijalankan, pelakon boleh meminta untuk melihat kad dari pengarah atau krew terlebih dahulu.

"Jika tiada sebarang kad, mereka boleh terus laporkan kepada kami," katanya.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Presiden Profima, Khir Mohd Nor.

Patuhi garis panduan

Mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan diambil, Rahim menjelaskan, FDAM, Seniman dan Profima bekerjasama menubuhkan badan bertindak menjurus kepada usaha melindungi penggiat seni tempatan berikutan pelbagai isu yang timbul dalam industri seni.

Jelasnya, badan berkenaan yang mula berkuat kuasa Januari 2013 nanti turut memainkan peranan membantu penguat kuasa Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Sama ada bagi kemasukan artis mahu pun pekerja seni dari luar negara, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah termaktub di bawah persatuan.

"Apa yang penting mereka perlu menjadi ahli terlebih dahulu dan semua ini boleh dimohon melalui tiga persatuan berdaftar ini mengikut bidang masingmasing," katanya selepas menjalankan permohonan tersebut, barulah Sijil Perakuan Penggambaran (SPP)
dikeluarkan mengikut kelayakan.

Ujar Rahim lagi, perkara ini perlu diberi perhatian oleh penggiat seni tempatan memandangkan bukan mudah bagi kita mencari ruang di negara luar.

"Tanpa pendekatan sebegini, mereka bebas melakukan apa sahaja, lagi pun objektif kami semata-mata untuk melindungi penggiat seni tempatan daripada dipinggirkan.

"Dalam pada itu, ini inisiatif terbaik dalam mengekang kemasukan artis luar secara tidak sah," katanya.

Dalam pada itu, Rahim memberitahu, produksi luar misalnya dari India antara produksi yang kerap melakukan penggambaran di negara ini.

"Ada di antara mereka cuma mendapatkan permit daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sahaja bukan SPP.

"Kita akan mengenakan tindakan keras kepada mereka ini, jika tiada SPP, kita ada hak meminta mereka menghentikan penggambaran sertamerta.

“Kita tidak perlu memberi kelonggaran kepada produksi luar sementelah kita sendiri sukar memasuki negara mereka. Saya yakin tindakan sebegini membawa pelbagai kebaikan kepada industri sendiri," katanya.