TAMPIL bergaya dengan busana merah kasut tumit tinggi, Duchess of Cambridge Kate Middleton membuat kemunculan pertamanya selepas bersalin anak ketiga di hadapan Hospital St Mary London.

Kate bersama suaminya Putera William berkongsi wajah anak yang baru lahir itu di hadapan wakil media dan orang ramai yang sedia menanti untuk merakamkan wajah bayi dan pasangan sepadan tersebut.

Difahamkan Kate melalui operasi selama lima jam untuk melahirkan anaknya.  Pun begitu, selepas beberapa jam lahir, Kate tetap tampil anggun dan bergaya sehingga menjadi perhatian ramai.  

Menurut kenyataan Istana Buckingham, pewaris kelima takhta Britain itu dilahirkan pada 11.01 pagi waktu tempatan dengan berat 3.8 kilogram.

Putera William dikhabarkan turut berada di sisi isterinya sepanjang proses kelahiran.

Dua lagi anak pasangan diraja itu, George dan Charlotte turut dilahirkan di hospital yang sama.

“Ratu, Duke of Edinburgh, Putera Charles, Duchess of Cornwall, Putera Harry dan anggota kedua-dua keluarga dimaklumkan dan gembira dengan berita itu.

“Kate dan anak berada dalam keadaan sihat,” ujar kenyataan istana.

Bayi itu merupakan cicit keenam Ratu Elizabeth dan berada di belakang George, Charlotte, William dan datuknya, Putera Charles, sebagai pewaris takhta. - Reuters