PELAKON dan penyanyi, Farahdhiya, 33, berkata, kecantikan seseorang itu bukannya diukur dengan adanya beg-beg berjenama mewah tetapi hati dan niat diri seseorang itulah ukurannya.

Farah turut berpesan, pembaziran tidak membawa keuntungan dan kesenangan yang dimiliki sekarang itu tidak kekal.

"Bahagia itu bukan pada jenama. Kualiti diri seseorang tidak ada kaitan dengan jenama yang kita pakai. Takkan pakai benda mahal baru nak rasa diri cantik?

"Kesianlah kalau macam itu setiap wanita yang dilahirkan cantik tanpa adanya sebarang jenama, akhirnya yang membuatkan kita cantik adalah hati kita, niat kita dan bukan jenama.

"Dan yang paling penting kalau mampu sekali pun berpada-padalah apabila berbelanja, kasihanilah suamimu, sayangilah duit, tak kisah andai duit sendiri, kalau kita senang sekarang tak semestinya kita akan senang sampai bila-bila," coretnya.

Farah menerusi Instagram turut berkongsi dan bersetuju dengan pendapat Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkaitan barang jenama yang menjadi kegilaan kaum wanita masa kini.

Tulisnya lagi, dia juga sudah menyaksikan sendiri ramai kenalannya pasang badan tetapi akhirnya menanggung keperitan.

"Sudah banyak saya nampak dengan mata sendiri, ada yang sanggup berhutang sebab nak melaram punya fasal, ada juga kawan-kawan yang dahulu kaya raya, setiap minggu beli beberapa bag, sudahnya tuhan nak tunjuk, terpaksa jual semua bag-bag dia untuk menampung kehidupan.

"Sebab Itu saya pesan berpada-pada lah walaupun kita rasa kita kaya, bukankah lebih baik kita simpan duit yang lebih itu, kalau apa- apa terjadi dikemudian hari sekurang kurangnya ada simpanan.

"Belajarlah untuk menjadi cerdik. Tuhan marah kalau kita angkuh, riak dan bongkak. Peringatan yang berguna untuk kita semua," tulisnya.

Tambah Farah lagi dalam tulisannya "Post saya takde kena mengena dengan politik ya, this is a general post, so please don’t turn it into something else or else I will have to delete your comment, thank you," katanya.