MESKIPUN ramai yang mengecam tindakan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri memuat naik video isterinya bersalin sehingga menjadi tular baru-baru ini, namun bagi Datin Seri Nur Shahida sendiri tidak menganggap ia sebagai perkara mengaibkan dirinya.

Biarpun pada mulanya merasa tertekan apabila netizen asyik memperkatakan tentang video tersebut, namun dia akhirnya mengabaikan perkara itu kerana percaya tiada apa yang salah dengan rakaman tersebut.

“Pada mulanya rasa tertekanlah juga bila setiap kali buka Facebook, asyik keluar muka saya. Masa tu, adalah juga rasa malu dengan mak mertua.

“Tapi bila tengok balik video tu, tiada apa pun yang mengaibkan saya. Lagipun bukan ditunjukkan seluruh proses bersalin tu. Benda biasa yang dalam drama pun kita selalu tengok.

“Lagipun sebelum memuat naik video tersebut, dia telah terlebih dahulu memamklumlah dan meminta keizinan daripada saya. Jadi tak ada yang perlu diperbesarkan,” ujarnya ketika ditemui di majlis cukur jambul dan akikah anak keempatnya Ahad lalu.

Aliff Syukri sememangnya cukup dikenali sebagai seorang yang suka berkongsi pelbagai momen yang dilaluinya menerusi video yang dimuat naik di laman media sosial.

Meskipun tidak menyokong suaminya kerap melakukan video live di laman sosial, Nur Shahida mengakui tidak ada meletakkan syarat tertentu kepada Aliff sebelum membuat sesuatu rakaman video.

“Saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat pada dia untuk buat video. Tetapi jika menyedari dia ada atau sedang membuat video live yang bukan-bukan, saya akan terus menghubunginya untuk menamatkan live tersebut,” katanya.