Pelakon, pengarah Fauziah Ahmad Daud, melalui Ogy’s Centerstage & Academy akan menganjurkan ‘Street Theatre Carnival’ atau Karnival Teater Jalanan.

Karnival ini akan diadakan pada 3 dan 4 Mac depan di Courtyard Fountain, Street Market, The Curve, Mutiara Damansara.

Konsep teater jalanan adalah suatu konsep seni persembahan teater yang telah lama ada dan banyak diadakan di Eropah dan Amerika.

Namun di Malaysia, ia masih asing lagi walaupun seni pemuzik jalanan atau busking semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Penganjuran teater jalanan ini adalah penganjuran kali kedua seumpamanya di Malaysia.

Kali pertama diadakan adalah pada tahun 1990 di bawah arahan Allahyarham Syed Alwi di hadapan Kompleks SOGO di mana Fauziah Ahmad Daud atau lebih sinonim dengan panggilan Kak Ogy merupakan salah seorang pelakonnya.

Kali ini, penganjuran teater jalanan ini dibuat sebagai menyambung semula apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi. Ianya juga merupakan pentas ujian bagi pelajar-pelajar

Bengkel Seni Lakonan Ogy’s Centerstage & Academy kini telah masuk kelompok ketiga.

“Saya melihat Teater Jalanan sebagai platform terbaik untuk menguji bakat lakonan para pelajar saya. Cabaran mereka bukan hanya menghafal dan memahami skrip tetapi mereka

perlu memikirkan bagaimana mereka mampu untuk menarik perhatian dan minat orang ramai yang lalu lalang di sekeliling mereka dengan lakonan yang mereka persembahkan.”

“Saya menyambung apa yang telah dimulakan oleh Allahyarham Syed Alwi dan saya harap ini akan menjadi legasi yang akan saya tinggalkan untuk industri seni tanah air suatu hari nanti," kata Kak Ogy.

Selain daripada teater jalanan, karnival dua hari ini turut menganjurkan beberapa acara lain seperti uji bakat sebagai pengacara dan pelakon, pertandingan jurumekap meletop dan Pencarian Lelaki Idaman Malaysia.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara-acara yang diadakan dijemput hadir pada hari karnival ini.