JOYAH kini kembali. Atas sambutan hangat terhadap telemovie Joyah sebelum ini, memberi idea kepada ZK Creative Production Sdn Bhd, mengangkat Joyah ke dalam drama bersiri.

Drama 20 episod arahan Nazir Jamaluddin sudah pun mula beraksi sejak 19 April lalu, di saluran TV9 menerusi slot Kelakarama. 

Joyah masih mengekalkan pelakon-pelakon utamanya seperti Jasmin Hamid, Kazaruddin Saisi, Bell Ngasri, Dottie Shuhada dan Joey Daud. 

Selain itu, drama ini dibantu Amyza Aznan, Isey Titan, Ieda Moin dan Ika Nabila. 

Berkongsi mengenai pembikinannya, Nazir berkata, Joyah menjalani penggambaran lebih kurang 50 hari bermula Disember tahun lalu, melibatkan kawasan sekitar Banting, Paya Jaras dan Klang, Selangor.

"Kisah Joyah bermula dengan telemovie Bila Joyah Masuk TV sekitar 2011, diikuti beberapa telemovie lain seperti Bila Joyah Jadi Jutawan, Bila Joyah Nak Raya dan Bila Joyah Dah Goyah.

"Telemovie Bila Joyah Dah Goyah juga mendapat pengiktirafan Anugerah Lawak Warna pada 2014.

"Atas kejayaan naskhah inilah memberi idea kepada produksi untuk bawa Joyah ke bentuk drama bersiri," katanya.

Sepanjang penggambaran kata Nazir dia, tidak mengalami cabaran besar kerana setiap pelakon yang terlibat sudah tahu fungsi dan kerja masing-masing.

"Kadang-kala apabila terlalu santai ketika shooting, kami terfikir, adakah wujud keluarga sebegini? Adakah ada realiti macam mereka? "Bahkan semua pelakon ibarat sebuah keluarga besar dan tak macam sedang berlakon atau bekerja.

"Cuma cabaran lainnya, nak kumpulkan empat pelakon utama yang masing-masing sibuk," katanya.

Nazir berharap Joyah dapat menghiburkan penonton dan dalam masa sama, penonton dapat pengajaran daripada drama ini.

"Bila buat naskhah komedi, bukan mudah nak bagi orang suka, ketawa dengan komedi yang bersahaja. 

"Tapi dengan Joyah, komedi bukan hanya dalam bentuk dialog semata-mata tetapi kita terapkan menerusi karakter pelakon.

"Apa yang saya harap penonton akan terhibur dan dapat pengajaran daripada drama ini," jelasnya.

Kisah Joyah

Drama ini mengisahkan Joyah (Jasmin) yang kini tidaklah sekaya usahawan lain, cukuplah sekadar 'dulu susah sekarang Alhamdulillah’. 

Berkat perniagaan kerepek pisangnya yang terkenal sehingga dieksport ke Korea dan Perancis, Joyah kini mempunyai banyak tanah kebun, ladang sawit dan kilang kerepek. 

Ahli keluarga Joyah sering ambil kesempatan ke atasnya, lebih-lebih lagi Syak (Bell Ngasri). 

Syak adalah pembantu Joyah tetapi sering sahaja melibatkan Joyah dengan pelbagai masalah. 

Anak perempuan Joyah, Embam (Dottie) kini belajar di kolej, namun masih manja dan pemalas. 

Lain pula dengan Daud (Kazar), suami yang takut bini dan sentiasa tunduk kepada Joyah. Daud hanya bersenang-lenang, pergi memancing dan suka berkaraoke. 

Perselisihan faham berlaku di antara Joyah dan Daud, di mana dia mendengar khabar angin isterinya itu rapat dengan lelaki muda. Daud menuduh Joyah telah curang. 

Daud pula cari perempuan lain demi mencetuskan perasaan cemburu Joyah. 

 Bagaimana agaknya kesudahan ragam ahli keluarga Joyah yang memeningkan kepala? Saksikan telatah Joyah setiap Selasa hingga Ahad, jam 8.30 malam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEPERTI dijangka, drama bersiri 7 Hari Mencintaiku menang besar pada Malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.
  • KISAH perbezaan dua darjat dalam percintaan sering menjadi pilihan diketengahkan sebagai plot yang melatari drama mahu pun filem.
  • DI hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama ALLAH, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya.
  • PASTI ramai yang tidak mampu melupakan penangan filem adaptasi Ombak Rindu lakonan Aaron Aziz dan Maya Karin hasil sentuhan novelis Fauziah Ashari yang menjadi fenomena sekitar tahun 2011.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.