Anis Ayuni
$entry.content.caption.value

Bagi kaki novel tempatan, pasti tidak asing dengan kisah gelora wanita bernama Dhira yang bertemu jodoh dengan Zairi, namun kemudiannya perlu berdepan konflik rumah tangga mereka, yang dipaparkan dalam novel Kau Kekasihku.

Ataupun jalan cerita novel Bayangan Rindu yang memuatkan kisah Iddya yang mengalami kegagalan dalam percintaan, tetapi sering mendapat kata-kata semangat daripada bekas teman sekolahnya, Umar Aisy.

Dua novel terbitan Alaf 21 Sdn Bhd itu antara sentuhan novelis terkenal, Anis Ayuni yang namanya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang penulisan novel tanah air.

Selain Kau Kekasihku dan Bayangan Rindu, penulis kelahiran Bentong, Pahang ini sudah menghasilkan lapan judul lain yang tidak kurang hebatnya.

Bermula dengan novel Suara Hati yang diterbitkan pada 2002, Anis Ayuni terus mengorak langkah sebagai antara novelis yang karyanya begitu dinantikan pembaca.

Tidak sekadar mengangkat kisah percintaan yang sering menjadi tema novelnya, namun Anis bijak menyelitkan elemen kasih sayang, kekeluargaan dan isu semasa sebagai perencah kepada garapan yang lebih menarik.

Dengan untaian kata-kata indah dan tersusun, maka tidak mustahil kesemua novel Anis Ayuni terpahat di memori ramai pembaca dan peminat setianya.

Pasti ramai pengikut pemilik nama asal Latifah Mohd Yusof ini mahu mengenali lebih rapat penulis kesayangan mereka.

Mungkin ramai tidak tahu, Anis merupakan seorang pendidik dan kini mencurahkan khidmatnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling sebagai Penolong Kanan (Tadbir dan Kurikulum).
Siapa sangka, pekerjaannya sebagai guru banyak membuka jalan kepada Anis bergiat sebagai penulis novel secara serius.

“Saya mula menulis cerpen ketika mengikuti diploma pendidikan (KPLI) di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 1989.

“Bagaimanapun, minat itu tidak saya kembangkan. Hanya apabila Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) diperkenalkan, barulah minat itu kembali mekar.

“Ini kerana dalam KOMSAS, setiap hari saya mengkaji novel, cerpen, puisi moden dan puisi tradisional bersama dengan anak-anak murid,” katanya.

Tambah Anis, dengan minat yang semakin mendalam, dia kemudiannya berjaya menghasilkan sebuah manuskrip novel pada 2001.

“Ketika itu saya tidak terfikir langsung yang hasil tulisan saya itu akan menjadi sebuah novel.

“Hanya apabila diyakinkan oleh seorang kawan, iaitu Rafidah Sadarudin, barulah saya bersetuju manuskrip itu dihantar kepada penerbit Alaf 21. Akhirnya lahirlah novel pertama saya berjudul Suara Hati pada 2002,” katanya.
Melihatkan sambutan hebat pembaca terhadap karya pertamanya dan keyakinan yang diberikan penerbit, Anis semakin bersemangat untuk menghasilkan novel seterusnya.

Tidak mahu terburu-buru dan sangat mementingkan kualiti penulisan, Anis lebih selesa mengambil masa apabila menghasilkan sesebuah novel.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika Anis hanya tampil dengan sebuah novel setahun iaitu Suara Hati (2002), Yang Terindah (2003), Manisnya Cinta (2004), Gemersik Kalbu (2005), Kau Kekasihku (2006), Bayangan Rindu (2007), Seribu Kali Sayang (2008), Sungguh Aku Cinta (2009), Saat Kau Kata Cinta ( 2010) dan yang terbaru Cinta yang Kurasa (2011).

“Dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab kepada keluarga dan kerjaya, saya sentiasa mencari ruang masa untuk berkarya bagi mencapai sasaran menghasilkan sebuah novel setahun.

“Saya belum mampu menulis lebih daripada itu kerana kekangan masa, meskipun keinginan itu ada dalam hati saya. Insya-Allah untuk tahun-tahun mendatang impian itu akan tercapai,” katanya.
Pengalaman jadi inspirasi
Sekiranya sesebuah novel itu berjaya di pasaran, sudah terbukti jalan cerita yang menarik merupakan salah satu faktor yang membuatkan pembaca tertawan.

Kisah yang begitu dekat dengan masyarakat pastinya membolehkan pembaca menyelami dan membayangkan sendiri babak yang diadun dalam novel.

Apatah lagi, kebanyakan penulis novel terdiri daripada kaum wanita dan secara tidak langsung dapat menepati cita rasa pembaca yang daripada sebahagian besar terdiri golongan Hawa.

Kadangkala, terdetik di hati ramai pembaca, dari manakah penulis novel mendapat idea bagi menghasilkan jalan cerita yang sungguh menarik.

Bagi Anis, kisah-kisah yang dipaparkan dalam novel nukilannya banyak ‘dicedok’ daripada pengalaman hidupnya sendiri.

“Kisah-kisah di alam persekolahan, kampus, dunia pekerjaan serta orang yang berada di sekeliling saya menjadi inspirasi untuk diabadikan di dalam novel.

“Saya juga suka mendengar dan memerhati. Hasil pengamatan itu mampu memberi idea kepada saya untuk mewarnai karya dengan lebih menarik

“Selain pengalaman sendiri, saya juga menulis pengalaman sebenar yang diceritakan kepada saya oleh individu yang mahu pengalaman hidupnya dijadikan panduan dan iktibar oleh orang lain,” katanya.

Malah, kata Anis, pengalaman yang dicurahkannya ke dalam novel bukan sekadar perkongsian biasa, sebaliknya dia mahu pembaca memperoleh ‘sesuatu’.

“Saya selalu mengingatkan diri bahawa saya mesti memberi informasi yang betul dan hasil tulisan saya bukan hanya untuk seronok dibaca sahaja.

“Pembaca harus mendapat input setelah mereka selesai membaca. Sekurang-kurangnya ada pengetahuan baru melalui tazkirah, petua, travelog dan seumpamanya,” katanya.
Rahsia ‘ikat’ pembaca Industri novel yang semakin berkembang pesat menyaksikan ramai penulis baru tumbuh bak cendawan lepas hujan.

Apabila ke kedai buku, ada saja novel terbaru yang diterbitkan sama ada hasil nukilan penulis lama mahupun yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Biarpun pembaca dihidangkan dengan pelbagai pilihan, ada segelintir mereka yang meletakkan kesetiaan kepada seseorang penulis yang mereka gemari.

Ini kerana sesiapa saja boleh menulis novel, tetapi tidak semua mampu menghasilkan karya yang menarik dan berkualiti secara berterusan.

Sebagai penulis yang berpengalaman dan mempunyai pengikut tersendiri, Anis memiliki strategi tersendiri untuk ‘mengikat’ pembacanya agar tidak beralih arah.

“Hasil tulisan saya sederhana sahaja. Walaupun ceritanya gabungan antara realiti dan fantasi, namun saya memastikan ia boleh diterima oleh logik akal.

“Saya cuba mewujudkan rasa seolah-olah pembaca berada dalam cerita hingga ada kalanya mereka ketawa, menangis, terkilan dan segala macam kesan emosi yang timbul daripada penghayatan ketika membaca,” katanya yang cukup mengagumi karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Bijak memasukkan elemen sampingan seperti isu semasa dan sebagainya, Anis terlebih dahulu akan memastikan dia memiliki sedikit pengetahuan tentang perkara yang ingin dikupas.

“Apabila hendak mengemukakan sesuatu perkara yang saya kurang mahir, saya akan membuat kajian. Sumber saya ialah artikel yang mudah diperoleh melalui Internet.

“Saya tidak boleh menulis sembarangan kerana pembaca bijak menilai. Apabila sesuatu perkara tidak saya ketahui secara mendalam, maka dalam tulisan hal itu tidak saya perincikan,” katanya.


Novel jadi pilihan adaptasi drama

Pernah mendapat Anugerah Novelis Prolifik Alaf 21 2006 dan Anugerah Pilihan Pembaca 2008 membuktikan bakat Anis dalam penulisan novel tidak dipandang sepi.

Malah, novel kini diangkat sebagai antara medium yang mempunyai kelas sendiri. Terbaru, seolah-olah menjadi fenomena apabila novel menjadi pilihan pengarah untuk diadaptasi ke filem mahupun drama.

Tidak ketinggalan adalah karya nukilan Anis, Gemersik Kalbu yang dipilih oleh Global Station Sdn Bhd untuk dijadikan drama bersiri di slot Akasia di TV3.

Menampilkan pelakon popular Aqasha dan Ayu Raudhah, drama yang bersiaran sejak beberapa minggu lalu itu mendapat maklum balas positif penonton.

Selain Gemersik Kalbu, dua lagi novel Anis iaitu Bayangan Rindu dan Manisnya Cinta juga bakal diadaptasi ke telefilem.

Mengenai trend mengangkat karya novel ke layar kaca mahupun layar lebar, Anis tidak ketinggalan berkongsi pendapatnya.

Baginya, penulis novel perlu diberi peluang oleh penerbit untuk memilih pelakon dan menilai skrip yang telah digarap agar tidak lari dari jalan cerita asal.

“Pemilihan pelakon penting untuk menghasilkan drama berkualiti kerana mereka bertindak sebagai penggerak cerita.

“Jika pelakon itu mempunyai rupa, tetapi tidak berbakat maka tidak menjamin cerita itu akan berjaya di kaca televisyen,” katanya.

Dalam pada itu, Anis turut tidak menafikan kesukaran untuk mengadaptasi novel ke skrip, namun tidak menolak untuk untuk bekerjasama dengan pihak produksi.

“Saya tidak kisah sekiranya penerbit melakukan rombakan terhadap jalan cerita, tetapi janganlah sehingga terlalu lari dari cerita sebenar.

“Kadang kala, apabila digarap dengan baik, jalan cerita dan penyampaian drama boleh menjadi lebih baik berbanding penulisan dalam novel,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.