PENYANYI Datuk Nassier Wahab meluahkan rasa kecewanya terhadap video yang kononnya memperlihatkan dia sedang sakit sedangkan yang sakit itu bukanlah dirinya.

Jelas penyanyi awet muda ini, yang sakit ketika ini adalah isterinya iaitu sakit buah pinggang.  Namun terdapat video menggunakan gambar lamanya serta dikaitkan dengan sakit yang teruk.

“Isteri saya yang sakit bukan saya.  Tapi nama dan gambar lama saya yang masa sakit dulu digunakan.  Tak baik la macam itu.  Bukan apa, ramai yang terkejut dan bertanya mengenai kesahihan cerita tersebut.

“Perkara-perkara seperti ini sebenarnya seperti menyekat periuk nasi saya.  Ada penganjur yang telefon dan bertanya dah sihat ke?  Mereka ingatkan saya masih sakit lagi.  Nasib baik mereka telefon kalau tak mungkin saya terlepas job tersebut sebab mereka ingat saya sakit,” kata Nassier kesal.

Tambahnya, orang-orang yang tak bertanggungjawab seperti ini mereka jawablah di akhirat nanti.

“Melututlah pada saya meminta maaf.  Saya memang tak suka dan sangat kesal,” luah Nassier.

Nassier berkata begitu ketika ditemui di sidang media Konsert Fenomena D’Pop di Kach’e Shah Alam, semalam yang turut menggandingkan ramai artis popular selain Nassier sendiri iaitu Datuk M. Daud Kilau, Datuk Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Amelina, Zur Eda, Zamani, Haizz dan Siti Nordiana.

Konsert Fenomena D’Pop itu bakal diadakan pada 28 September ini di Dewan Banquet Menara FELDA Kuala Lumpur jam 8.30 malam.  Konsert tersebut diacarakan oleh Muaz.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembelian tiket konsert ini rujuk ke Facebook, Twitter dan Instagram atas nama fenomenadpop.