BUAT julung kalinya Astro Ceria menggabungkan bakat-bakat hebat yang lahir daripada empat program pencarian bakat cilik popular tanah air iaitu Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria I-star dan Bintang Kecil untuk sekali lagi bertanding merebut gelaran Megastar.

18 peserta terbaik daripada empat program realiti popular ini akan berentap dalam program terbaru, Ceria Megastar yang akan bersiaran setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Ceria mulai 2 Mac ini.

Datuk Aznil Hj Nawawi yang bertindak sebagai salah seorang juri tetap bersama penyampai radio dan pelawak, Johan, bagaimanapun mengharapkan agar peserta cilik ini tidak menjadi mangsa komen-komen negatif netizen di laman sosial.

“Ketulusan anak-anak ini jangan kita rosakkan dengan komen-komen negatif netizen dengan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya mereka baca.

“Akhirnya  tujuan utama program ini untuk, memupuk anak ini menjadi seorang insan  yang berjaya dengan sifat positif akan jadi sia-sia, jika kita yang dewasa ini tidak  memberikan komen yang baik, tunjuk ajar mahupun bimbingan yang betul.

“Biarlah kita sama-sama menonton program ini sebagai satu rancangan yang ada ketulusan dan kejernihan dalam membuat penilain terhadap mereka,” katanya ketika sidang media program Ceria Megastar semalam.

Kata Aznil yang cukup sinonim dengan pelbagai program kanak-kanak ini  lagi, bakat-bakat cilik tidak seharusnya didedahkan dengan perkara-perkara yang ‘kejam’ dalam industri.

“Tidak semestinya kita hanya memberikan pujian semata-mata, boleh menegur atau memberikan tunjuk ajar, tetapi cara yang positif dan membina dan bukan seperti komen-komen yang biasa kita berikan kepada bintang-bintang yang lebih dewasa.

“Pilihlah perkataan-perkataan yang elok kerana anak-anak zaman sekarang bukan lagi macam anak-anak dulu, di amna mereka hari ini terdedah dengan pelbagai perkara negatif yang ada di sekeliling.

“Janganlah dedahkan mereka dengan keadaan industri yang kejam, sebaliknya berilah semangat positif agar mereka tidak takut untuk berada di dalamnya,” tegas Aznil.