IZREEN Azminda dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar, meminta agar netizen berhenti menjadikan Rita Rudaini sebagai sasaran kerana sahabatnya itu tidak ada kena mengena dengan kontroversi yang melanda dirinya.

“Tidak dinafikan sejak saya menutup ruangan komen dan kemudiannya akaun Instagram, netizen beralih  kepada Instagram Rita. Disebabkan mereka tidak dapat menghentam saya, Rita pula jadi mangsa.

"Apapun, perkara ini berlaku di luar kawalan saya. Cuma, apa boleh dikatakan sekarang, berhentilah mengganggu ketenteraman Rita, baik di kalangan peminat saya atau 'haters',” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Izreen turut menjelaskan tindakannya menutup Instagram bukan kerana mahu melarikan diri daripada masalah, tetapi kerana mahu menyelesaikan masalah yang dihadapinya terlebih dahulu.

“Buat masa sekarang, saya ingin semuanya reda dan tenang dahulu. Bagi yang terus memberikan sokongan kepada saya, terima kasih diucapkan," kata Izreen yang mengakui kerjaya seninya masih berlangsung seperti biasa.