SEMALAM pelakon, penyanyi dan pengacara, Marsha Milan Londoh selamat berangkat menunaikan ibadah umrah buat kali kedua.

Mengakui tidak dapat menepis kebimbangan biarpun sudah berpengalaman menunaikan umrah, Marsha, 32, berkata, apa yang diharapkannya adalah ibadah tersebut berjalan dengan lancar.

"Saya pergi ke sana bersama suami dan keluarganya. Walaupun dah pernah pergi, tapi saya masih lagi tidak dapat mengurangkan kebimbangan kerana saya masih lagi dalam tempoh belajar.

"Bila pergi kali kedua ini, kebimbangan itu tidaklah sama seperti kali pertama sebab dah tahu apa nak buat.

"Cuma saya rasa perlu jaga adab, tatatertib semasa kerjakan umrah, bukan apa cuma nak elak perkara tidak diingini daripada berlaku. Doakan umrah saya diterima dan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya apa doa yang ingin dititipkan di depan Kaabah nanti, Marsha berkata, dia berharap ALLAH SWT memberikannya rezeki untuk menimang cahaya mata.

"Tentulah doa untuk dikurniakan zuriat, jika dengan izinNya, Insya-ALLAH.

"Bagaimanapun bukan itu sahaja niat saya untuk menunaikan umrah. Saya kira ini juga peluang buat saya mendekatkan diri lagi dengan ALLAH SWT," jelasnya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan,  Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, 32, pada 31 Disember 2015.