Izara
Izara
Neelofa
Neelofa
Ramona
Ramona

Sama cantik, sama bertuah. Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai tiga Dewi Remaja yang lahir dari musim yang sama, 2010/2011. Mampu berbangga dengan karier seni masing-masing, Izara, Neelofa dan Ramona tak lupa menjalani ibadah puasa dengan memanfaatkan Ramadan  sebaik mungkin. Ketiga-tiga gadis cantik ini juga bersyukur dengan rezeki yang tak pernah putus.

Izara cuti sebulan demi keluarga

Kerinduan bersama keluarga mendorong naib juara Dewi Remaja ini mengambil keputusan untuk bercuti sepanjang Ramadan ini. Akui Izara, setelah sibuk bekerja sejak awal tahun lalu, sudah tiba masanya dia bercuti untuk bersama keluarga.

Namun, Izara masih meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan juga memenuhi undangan sesi fotografi bersama majalah dan akhbar.

"Izara hanya bekerja dua hari sahaja ketika raya untuk penggambaran telemovie Vanila Coklat Raya. Selebihnya sepanjang bulan puasa ini, Izara duduk di rumah, meluangkan masa bersama keluarga. "Bila asyik bekerja, Izara akui rasa rindu untuk bersama keluarga.

"Jadi untuk Ramadan kali ini, Izara ambil keputusan untuk bercuti memandangkan Ramadan tahun lalu, Izara banyak terlibat dengan penggambaran ketika bulan puasa," jelas pemilik nama sebenar Izara Aishah Hisham ini.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan kali ini, Izara berkata, mereka sekeluarga hanya menyambut secara sederhana.

"Ada kalanya mama masak, ada kalanya kami beli. Izara pula jenis tak kisah tentang juadah, yang penting kena ada air atas meja dan air itu mesti berwarna kerana Izara tak minum air kosong," katanya.

Rindu suasana Ramadan ketika kecil

Mengimbau kenangan berpuasa ketika kecil, Izara mengakui amat merindui suasana berbuka bersama sepupu dan saudara mara 12 tahun lalu.
 
"Izara cukup bertuah kerana ada keluarga yang besar. Jadi ramailah sepupu yang lebih kurang sebaya. Tiap kali berpuasa, kami akan berbuka puasa beramai-ramai.

"Kami akan bentang kain di atas lantai dan makan bersama-sama. Tapi bila dah besar, Izara dah tak dapat lagi nak nikmati suasana begitu kerana masing-masing pun ada yang dah kerja, yang dah kahwin, belajar jauh," kata anak kelahiran Bakar Batu, Johor Bharu ini.

Neelofa berpuasa di lokasi

Tidak seperti Izara, Neelofa atau mesra disapa dengan panggilan Lofa, terpaksa berpuasa dan berbuka di lokasi sepanjang Ramadan ini kerana terlibat dengan penggambaran Kau Yang Terindah yang akan mula bersiaran 6 Ogos ini.

"Tahun ini merupakan tahun kedua Lofa berpuasa di lokasi. Nak kata sedih kerana tidak dapat berpuasa dengan keluarga itu adalah sedikit, tapi memandangkan sejak zaman persekolahan lagi Lofa dah biasa berpuasa jauh dari keluarga kerana tinggal di sekolah berasrama, jadi Lofa dah biasa.

"Lagipun berbuka di lokasi juga meriah, membuatkan Lofa lupa kesedihan kerana tidak dapat berbuka dengan keluarga. Penggambaran ini pula hanya akan tamat 5 September nanti. "Mujur Kak Erma (Erma Fatimah) memberi cuti dua minggu, jadi dapatlah Lofa tebus masa untuk bersama keluarga pula," kata juara Dewi Remaja ini.

Memandangkan berbuka di lokasi, Lofa berkata, tiada juadah wajib buatnya setiap hari, apatah lagi dia tidak gemar mengambil makanan berat ketika berbuka.

"Kalau berbuka di rumah, karipap dan pisang goreng buatan sendiri memang wajib ada. Tapi kalau di luar, Lofa tidak kisah sangat. Lagi pula Lofa bukan jenis yang makan banyak ketika berbuka. Bila dah malam sedikit, baru Lofa ambil makanan berat," ujarnya.

Kenangan manis di Tanah Suci

Berkongsi pengalaman menjejakkan kaki ke Makkah awal Julai lalu, Lofa mengakui berasa amat teruja kerana hasratnya ke Makkah tercapai, namun dalam masa yang sama berasa sedikit ralat.

"Tujuan sebenar Lofa ke sana adalah kerana kerja. Jadi Lofa kenalah ikut jadual yang telah disusun pihak produksi. Sedih jugalah kerana tidak berpeluang untuk beribadat lebih di sana.

"Apa-apa pun pemergian Lofa ke sana meninggalkan kenangan yang cukup manis buat Lofa. Insya- Allah, panjang umur, murah rezeki, Lofa memang teringin lagi untuk ke sana," katanya.

Menyentuh tentang persiapan raya, Lofa berkata, dia masih belum sempat untuk membuat sebarang persiapan dan akan membeli baju apabila mendapat cuti kelak.

Ramona puasa berdua

Lain pula ceritanya dengan finalis Dewi Remaja ini, Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam atau Ramona yang menyambut Ramadan kali ini bersama ibunya memandangkan ahli keluarga yang lain mempunyai urusan luar.

Justeru, juadah berbuka hanya disediakan seringkas mungkin dan ada kalanya Ramona dan ibunya lebih selesa membeli juadah di bazar terdekat.

"Kebetulan Ramadan kali ini, ayah saya berada di luar negara manakala kakak di asrama, jadi tinggallah saya berdua dengan ibu. Saya pula jenis tak kisah dengan juadah, sebab saya makan semua kecuali makanan yang pedas.

"Tapi, saya paling suka dengan martabak Singapura yang sering diberikan oleh kawan saya," katanya.

Menurut Ramona, memandangkan dia masih lagi menuntut dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di Segi College, maka dia lebih menumpukan terhadap pengajiannya berbanding karier.

"Saya kini dalam semester pendek, jadi saya lebih tumpukan pada kuliah. Jika ada masa terluang, saya memenuhi undangan sesi fotografi bersama majalah.

"Saya juga ada terlibat dengan penggambaran telemovie raya, Jangan Tak Pulang yang akan disiarkan pada malam raya di TV Alhijrah. Kebetulan penggambaran ini mengambil masa singkat dan tidak mengganggu jadual kelas, jadi saya bersetuju untuk berlakon," katanya yang akan muncul dalam filem Sepah The Movie bersama kumpulan Sepah dan Anzalna.

Persiapan ringkas

Menyentuh mengenai persiapan Syawalnya pula, Ramona berkata, semenjak dahulu lagi, keluarganya tidak membuat persiapan raya besar-besaran dan hanya menyambut raya di Kuala Lumpur.

Apatah lagi, sejak dua tahun lalu, neneknya berada dalam keadaan koma dan membuatkan mereka tidak ada mood untuk menyambut lebaran secara meriah.

"Selain menyambut puasa di Kuala Lumpur, saya juga akan pulang ke Ipoh, Perak melawat Opah yang kini terlantar sakit dan koma. "Punca dia koma kerana mendapat serangan angin ahmar. Jadi kini dia hanya berbaring dan hanya matanya saja yang bergerak, tapi anggota yang lain, tiada tindak balas," jelasnya.

IZZARA

Nama sebenar: Izara Aishah Hisham
Panggilan : Izara
Tarikh lahir: 28 September 1992
Asal: Bakar Batu, Johor Bahru
Keluarga: Sulung daripada tiga beradik
Drama TV: Kasih Naziha, Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Soffiya, Pusing Beraya, dan Vanila Coklat.
Pencapaian: Tempat kedua Dewi Remaja 2010/2011

neelofa
Nama sebenar: Noor Neelofa Mohd Noor
Panggilan: Neelofa atau Lofa
Tarikh lahir: 10 Februari 1989
Asal: Pasir Mas, Kelantan
Keluarga: Anak ketiga daripada sembilan beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Selangor
Iklan: Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
Klip Video: Kau Bukan Aku nyanyian Tilu
Filem: Azura (versi baru), Lemak Kampung Santan, Pak Pong, Saya Amat Mencintaimu (SAM)
Drama: Kasih Najihah, Tahajud Cinta, Kitab Cinta, Lara & Jiwa.
Pengacaraan: Paparazzi, Sekolahku Hebat, Nona
Pencapaian: Juara Dewi Remaja
2010/2011

 

Ramona

Nama: Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam
Nama Komersial: Ramona Zamzam
Tarikh Lahir: 25 Jun 1990
Asal: Ipoh, Perak
Pendidikan: Diploma Pengurusan
Perniagaan di Segi College
Drama: Begitukah Cinta, Nora Elena, Kali
Kedua, Nilapura, Sitcom Nana Tanjung, Otai
Filem: Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The
Movie

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.