• Elfira Elfira
1 /

JIKA dibuka lembaran graf perkembangan karier seni gadis kecil molek bernama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau Elfira, pasti dapat dilihat peningkatan karier lakonannya yang begitu baik sejak tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah dengan populariti yang dimiliki, ada yang mahu menjadi ‘Elfira’ sehingga sanggup mewujudkan satu akaun Twitter palsu menggunakan identiti ‘Elfira’.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Elfira menerusi akaun Twitter miliknya beberapa hari lalu.

“Please don’t tweet like you are the real ‘Elfira’. Show some respect please, thank you @_Elfiraloy, (Jangan tweet seperti anda Elfira yang sebenar. Tolong hormat sedikit, terima kasih).” tulisnya.

Elfira yang dihubungi Zass berkata, perkara seumpama itu bukan pertama kali berlaku, namun sebelum ini, individu yang membuat akaun laman sosial menggunakan namanya hanyalah untuk mempromosikan perkembangan kariernya.

Bagaimanapun, lama-kelamaan individu tidak bertanggungjawab itu mula rasa selesa hingga sanggup menyamar menjadi Elfira.

“Jika ada pihak yang menggunakan nama saya untuk memberi maklumat tentang perkembangan saya, saya boleh terima.

“Tapi bila sampai berbual dan berjanji untuk berjumpa dengan peminat saya, pada saya itu perbuatan yang sangat melampau. Saya pula jenis tidak akan berdiam diri dan akan terus berhubung dengan individu tersebut,” katanya.

Elfira berkata, dia sebolehnya tidak mahu membawa perkara ini sehingga ke tahap yang lebih serius (membuat laporan polis) dan akan cuba menyelesaikan dengan cara yang terbaik.

“Saya faham, mereka yang selalu update mengenai saya, adalah peminat saya sendiri. Kalau tak, bagaimana mereka tahu perkembangan saya.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana belum sampai tahap ada peminat fanatik yang mengganggu hidup saya seperti mencari saya sehingga ke rumah atau menelefon saya,” ujarnya.

Akaun palsu yang berdaftar atas nama @_Elfiraloy itu jelas boleh menimbulkan kekeliruan berikutan tweet yang dikeluarkan seolah-olah ditulis oleh pelakon itu.

Akaun palsu yang dibuat pada 28 Disember tahun lalu itu kini mempunyai 237 pengikut dengan 384 tweet.

Pada 28 Januari lalu, individu tersebut menulis mesej kepada pelakon, Nabila Huda.

“Hey sis...How are you? It’s me Elfira...I saw you at La Boca,” tulisnya.

Bagaimanapun, menurut Elfira, semenjak dia menegur individu terbabit, dia sudah tidak lagi menghantar apa-apa tweet terbaru.

Bercinta dengan Baim?

Tidak sekadar perkembangan kariernya yang menjadi perhatian, kehidupan peribadi gadis berusia 19 tahun ini turut menjadi perhatian apabila dia kini dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang lagi pelakon Indonesia.

Menegaskan perhubungan yang terjalin tidak lebih dari sekadar teman, Elfira berkata, dia sudah mula lali dikaitkan dengan pasangan lakonannya.

“Ketika saya berlakon bersama Randy (Randy Pangalila), orang kata saya bercinta dengan dia. Bila saya berlakon bersama Baim, orang kata saya bercinta dengan dia pula.

“Bagi saya gosip liar sebegini ada buruk dan baiknya. Baiknya adalah, ia membuktikan kami berjaya mempamerkan keserasian yang baik sehingga orang melihat kami rapat sehingga luar set.

“Namun yang buruknya, saya tidak mahu orang salah sangka dan menganggap saya ‘playgirl’ dan sering bertukar teman lelaki,” jelasnya.

Elfira berkata, sejak dulu dia tidak pernah lagi bercinta dan belum terfikir untuk bercinta kerana mahu memberi perhatian terhadap karier seninya terlebih dahulu.

“Fokus utama saya adalah karier saya dan tak pernah rasa pun untuk mempunyai pasangan buat masa sekarang. Lagipun saya masih muda,” katanya.

Jangan layan saya seperti kanak-kanak

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penghijrahan adiknya yang juga pelakon, Ezlisa yang kini sudah mula bertudung, Elfira berkata dia amat senang dengan perubahan adiknya.

Bagaimanapun dia mengakui kurang senang dan selesa pada mulanya apabila ada pihak yang mula memperlinya kerana tidak bertudung. “Pada mulanya saya akui rimas bila orang kata macam-macam pada saya. Mereka melayan dan bercakap dengan saya seperti saya masih lagi kanak-kanak. Itu yang membuatkan saya tidak suka.

“Tapi saya fikir positif dan merasakan masih ada orang mengambil berat mengenai saya dan saya akhirnya baca cerita mengenai saya sebagai bahan bacaan dan tidak ambil pusing.

“Saya sudah besar, perkara seperti ini (bertudung) perlu datang dengan cara yang ikhlas dan bukannya kerana orang suruh serta paksaan orang lain. Bila tiba masanya, saya akan mengikut jejak Ezlisa,” jelasnya.

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Elfira berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod, Si Tanggang Ayu yang akan disiarkan dia Astro Prima. Selain itu, dia kini sedang sibuk menjalani latihan untuk filem Rentap bersama Syafie Naswip dan Zahiril Adzim yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.