KOMEN melampau seorang pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai Azrul kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ditegur pendakwah muda, Wan Dazrin Wan Din.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Da’i Wan memuat naik paparan skrin rakaman FB Live yang dikendalikan Faizal Ismail dan Fara Fauzana pada 22 Mei lalu, di mana Nurul Izzah menjadi tetamu program ketika itu.

Menurut keterangan status itu, walaupun syaitan diikat pada bulan Ramadan, Da’i Wan menyifatkan masih terdapat manusia yang didorong untuk melakukan sesuatu yang tidak wajar di bulan yang mulia ini.

“Dunia hari ini macam-macam jenis manusia ada, dalam bulan Ramadan pula tu, benarlah syaitan yang tahap ‘gabenor’, mereka merata-rata.

“Kalau kita tak jaga iman kita, puasa kita takkan mampu jadi ‘perisai’,” kata Da’i Wan tanpa merujuk kepada Azrul secara khusus di akaun Instagram miliknya yang dipetik Mstar.

[ARTIKEL BERKAITAN: FBI sudah mohon maaf pada Nurul Izzah]

[ARTIKEL BERKAITAN: Etika pemakaian Nurul Izzah cukup sopan: Bernama]

Bagaimanapun, mengenai Azrul yang masih tidak dikenal pasti identitinya sehingga kini, Da’i Wan berkata, lelaki tersebut telah melakukan kesilapan dalam menegur seseorang.

“Azrul dikategorikan telah salah laku dalam bab teguran. Ia bukan lagi teguran, bukan juga nasihat, bukan juga cegah kemungkaran tapi ia bukaan aib yang memang disengajakan.

“Imam Syafie beritahu 'Orang yang menasihati tanpa menjaga rahsianya (aib yang tidak diketahui) ialah orang yang nak khianati seseorang,” tambah Da'i Wan yang memetik kata-kata seorang tokoh ulama.

Azrul membuat panggilan menerusi program itu dan menegur Nurul Izzah mengenai pemakainan tudungnya.

Faizal cuba memendekkan perbualan, namun dalam pada sama lelaki tersebut terus memberitahu perihal pemakaian Nurul Izzah.

Namun Nurul Izzah tidak cepat melatah, sebaliknya kelihatan tenang dan mengangguk-angguk tanda memahami teguran Azrul.

Minggu lalu, Da’i Wan menegur personaliti media sosial, Faiz Roslan bersama dua rakannya yang bertindak memuat naik video parodi dengan tarian yang mengghairahkan dan berpakaian seksi menyerupai perempuan, pada hari pertama Ramadan.

Bagaimanapun, Faiz tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan telah memadamkan video berkenaan.