• Izzue Izzue
1 /

UMUM sudah mengetahui, pelakon kacak, Izzue Islam bakal mengakhiri zaman bujangnya, Ahad ini dengan Awin Nurin yang juga pengurusnya.

Berkonsepkan perkahwinan dalam taman, pasangan ini bakal bernikah pada jam 9 pagi dan bersanding pada jam 2 petang di Shah Alam.

Tarikh 2 Jun begitu istimewa buat Izzue Islam atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan kerana pelakon utama Sebenarnya Saya Isteri Dia ini menyambut ulang tahun ke-23 pada tarikh tersebut.

Izzue akui sudah bercinta dengan Awin sebelum bergelar artis lagi.

“Sebenarnya, saya sudah lama bercinta dengan Awin Nurin. Sudah lima tahun. Masa itu, Izzue bekerja di kedai makan di kawasan Petaling Jaya dan Awin memiliki sebuah salun kecantikan bersebelahan tempat kerja Izzue.

"Dari situlah, kami berkenalan. Dia pesan makanan dan Izzue pergi hantar. Mula-mula kami berkawan baik dan akhirnya bercinta sampailah Izzue menjadi artis,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang gadis pilihan hatinya itu, Izzue lancar menyenaraikan istimewanya seorang Awin Nurin di matanya.

“Dia adalah diri dia. Dia tegas dalam bekerja. Dia pengurus Izzue, jadi kalau lambat bangun ke apa ke memang kena. Dia ada pendirian, seorang yang berdisiplin, peramah, sopan. Dia...macam-macamlah.

“Pahit, manis, pedas, masam, masin, kenyang, lapar, susah, senang, jatuh, bangun...semua kami sudah rasa. Dia yang selalu beri Izzue semangat selain daripada ibu bapa dan kawan-kawan Izzue,” katanya yang sedang menanti hari diijabkabulkan dengan penuh debaran.

Pelakon yang berasal dari Kelantan ini juga menegaskan keyakinan bahawa dirinya tidak tersilap dalam memilih teman hidup.

“Izzue yakin, Izzue tidak salah pilih orang untuk dijadikan teman hidup. Susah senang Izzue dia memang ada bersama Izzue.

“Macam Izzue cakap, rugi kalau Izzue lepaskan seorang wanita yang memang Izzue dah kenal hati budi dia,” katanya yang bakal mengadakan majlis sambut menantu di Kelantan pada Aidilfitri kelak.

Bercakap soal bulan madu, pasangan ini terpaksa menangguhkan perancangan untuk berbulan madu sehingga bulan Julai kerana jadual Izzue yang padat.

“Memang kami ada rancang tapi tak pasti lagi. Sebab Izzue bercuti hanya seminggu sahaja untuk berkahwin. Selepas itu, Izzue akan sambung balik penggambaran untuk drama Sahabat terbitan Suhan Movies.

“Bulan Julai akan habis penggambaran, barulah boleh fikir tentang bulan madu,” katanya.

Pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 ini juga berserah kepada ALLAH untuk dikurniakan zuriat dan tidak merancang apa-apa mengenainya.  

“Izzue anggap perkahwinan ini satu rezeki dan sesiapa yang berkahwin mahukan zuriat. Izzue juga sama seperti orang lain. Tapi tak rancang. Kalau ada, adalah. Kalau lambat, tak ada rezeki lagi tak apa. Tunggu sampai Tuhan bagi rezeki.

“Kalau ALLAH bagi satu pasukan bola, pasukan bola lah,” katanya lagi.