"GURAU sahaja, bukan saya yang grad tapi adik," ujar pelakon Roy Azman ketika ditanya mengenai gambarnya dengan jubah konvo yang mendapat perhatian pengikutnya.  

Bukan itu sahaja, malah dia juga turut menerima banyak ucapan tahniah bukan sahaja daripada peminat tetapi juga rakan-rakan artis.  

"Ada yang tahu tapi sengaja nak ucap tahniah.  Ada juga yang tak tahu dan mungkin mereka ingatkan betul-betul.

"Tak apalah, nantilah saya perbetulkan keadaan," katanya sambil gelak ketawa kerana tidak menyangka ramai yang mempercayai dia konvo.  

"Saya minta maaflah kalau ada yang rasa terkena, saya gurau sahaja,  saya kan kuat bergurau," ujarnya lagi.  

Menyedari instagramnya dibanjiri ucapan tahniah, dalam posting terbaharu, pelakon berusia 48 tahun ini akan  memuat naik gambar bersama adiknya yang benar-benar konvo.