AKTOR, Remy Ishak berkata Filem RISE Ini Kalilah merupakan naskhah yang memaparkan kisah rakyat Malaysia dan bukan semata-mata propaganda.

Menurut Remy Ishak atau nama penuhnya Mohammad Zalimei Ishak, 36, dia tidak melihat karya ini cenderung ke arah politik, sebaliknya cerita rakyat yang sudah jelak dengan sistem yang pernah ada.

Malah kata pemilik nama itu lagi, filem ini lebih kepada pemahaman dan pemikiran masyarakat dalam sesebuah negara.

"Walau bagaimanapun, lain orang lain pandangannya dan sebagai pelakon saya melihat dari sudut yang positif.

"Maksudnya, keluhan yang tak selalu didengar kini dipersembahkan ke layar besar. Kadang-kadang cakap bukan semua orang faham.

"Jadi bila ia dipaparkan dalam filem dengan harapan ia akan jadi sejarah," jelas Remy ketika ditemui di majlis tayangan perdana RISE Ini Kalilah di One Utama, Damansara Utama.

Mengulas persetujuan mengenai pembabitannya dalam RISE Ini Kalilah, sebagai pelakon, Remy berkata dia berfikir panjang dan haruslah bersifat neutral.

"Sudah tentu saya berfikir panjang, saya tak boleh nak anti-kerajaan mahupun pro-gomen.

"Sebagai penghibur terlebih dahulu saya kaji dan tanya ke manakah hala tuju filem ini? Atau kita sedang menunding jari kepada kerajaan sebelum ini?

"Justeru, saya tak mahu peminat terguris hati ataupun salah faham. Ini cerita tentang Malaysia bukan tentang pembangkang atau kerajaan sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Filem terbitan WebTVAsia dan arahan daripada tiga pengarah, Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin, dan Prem Nath, diinspirasikan daripada kejayaan rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 September ini.

Selain Remy yang memegang watak utama sebagai Koperal Azman, antara barisan pelakon lain terdiri daripada Mira Filzah, Yana Samsudin, Sangeeta Krishnasamy, Mark O'dea, Mustaqim Bahadon, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.