SIMPATI dengan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin dan Rohingya membuatkan Isman Hijjaz berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah single terbaharu Hijjaz sebagai usaha menyeru masyarakat turut sama membantu.

Menurut Isman, 49, idea untuk menghasilkan lagu ini sudah tercetus sejak mereka berada di bumi Syria sekitar tahun 2013 lagi.

“Di sana kami telah menyaksikan pelbagai kehancuran, kesakitan, kemusnahan dan juga penderitaan orang awam yang tidak berdosa.

“Begitu juga di Coax Bazar, Bangladesh ketika bersama pengerusi Sympathy, Abdullah Abdul Hamid. Kami menyaksikan majoriti anak-anak kecil melalui keperitan hidup seperti tidak cukup tidur. anak-anak yatim piatu terpaksa menumpang di rumah orang lain.

"Malah ada golongan ibu yang terpaksa melahirkan zuriat hasil kezaliman yang dilakukan oleh golongan penjahat.

“Sejak hari itu Hijjaz dan Sympathy serius untuk bekerjasama dan merancang bagi menghasilkan single bertajuk Simpati,” ujar Isman sebak.

Kumpulan Hijjaz turut giat mengumpul dana untuk membeli ubat cacing buat kanak-kanak pelarian Rohingya di kem Cox’s Bazar, Bangladesh.

Isman juga berharap masyarakat dan organisasi badan bukan kerajaan, ustaz dan ulama termasuk selebriti dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dijalankan boleh menghubungi SYMPATHY di Instagram @sympathysociety atau Facebook Page, @sympathy.