PELAKON dan pengacara anak tempatan, Henry Golding mencipta sejarah tersendiri apabila muncul dalam program yang sangat popular di Amerika Syarikat, The Ellen DeGeneres Show.

Golding berkongsi keterujaannya bertemu personaliti televisyen, Ellen DeGeneres, yang menemubualnya dalam rancangan berkenaan sebagai sebahagian daripada promosi filem lakonannya, Crazy Rich Asians.

"Satu pengalaman yang sukar dipercayai, saya rasa macam bermimpi.

"Trailer Crazy Rich Asians akan dilancarkan esok (hari ini), jangan lupa kongsikannya," tulis Golding di Instagramnya.

Golding, teraju utama filem tersebut, muncul bersama seorang lagi pelakon utamanya, Constance Wu.

Crazy Rich Asians yang diedarkan oleh Warner Bros, akan ditayangkan 17 Ogos ini.

Golding semakin melebarkan sayap di Hollywood, dengan sebuah lagi filem menggandingkannya dengan aktres Blake Lively dan Anna Kendrick , berjudul A Simple Favor akan ditayangkan September depan.