KUMPULAN nasyid popular, Rabbani kembali mendapatkan ‘sentuhan ajaib’ daripada komposer terkenal, Edry Abdul Halim menerusi lagu terbaru, Yang Benar.

Kali terakhir Rabbani bekerjasama dengan Edry adalah menerusi lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali pada 2001.

Menariknya, percubaan tersebut ternyata menjadi kerana lagu berkonsepkan ‘world music’ itu berjaya mencetuskan fenomena kepada kumpulan yang dianggotai lapan ahli ini.

Justeru, wakil kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz berharap lagu Yang Benar mampu mencetuskan situasi sama sekali lagi.

“Kita mahu bangkit semula dengan lagu yang segar agar dapat terus bertahan dalam arus perdana muzik tanah air.

“Sempena ulang tahun ke-19 Rabbani, kita juga yakin Yang Benar mampu mengangkat semula nama Rabbani dalam kalangan peminat lagu nasyid.

“Oleh sebab itu, kita memberi ruang seluas-luasnya kepada Edry dalam berkarya,” katanya.

Menurut Azadan, lagu ciptaan ahli kumpulan KRU itu dimuatkan dalam album terbaru, Yang Benar terbitan Inteam Records Sdn Bhd dan dilancarkan sejak Julai lalu.

“Album ini turut menyisipkan lagu duet dengan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Muhammad Al Ameen ciptaan Pak Ngah.

“Lima lagi lagu iaitu Mawar Berdarah, Permaidani, Syukur, Medley Salawat dan lagu Zakat Dihati sumbangan Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

Menariknya, kata Azadan, Rabbani turut berduet dengan Black menerusi lagu Dalam Aku.

“Kerjasama dengan Black menyegarkan lagi album ini. Kita berharap album ini dapat menarik golongan muda untuk bersama-sama menghayati lagu nasyid,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Rabbani kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan Konsert 3 Kejora Bersatu yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 7 dan 8 Oktober depan.

Bergabung dengan Hijjaz dan Brothers, Azadan turut menjanjikan persembahan yang menarik dan luar biasa pada konsert anjuran Key Management itu.

“Khusus untuk peminat yang sentiasa menyokong dan meminati lagu-lagu nasyid tanah air, datanglah beramai-ramai.

“Insya-ALLAH, kita akan memberi satu kelainan daripada konsert biasa yang anda pernah lihat,” katanya.

Karnival komuniti

Dalam pada sibuk memenuhi undangan pentas, Rabbani juga tidak melupakan tanggungjawab terhadap negara.

Menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, kumpulan itu sudah menyediakan pelbagai aktiviti menerusi program anjuran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd iaitu Karnival Komuniti Bestari 2016.

Azadan berkata, karnival itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Putra Heights, Selangor selama enam hari mulai 26 hingga 31 Ogos depan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik sudah diatur seperti jualan gerai dan pameran, sukan padang, memanah, berkuda, supa dupa, taman arnab, Forum Perdana bersama Imam Muda Ashraf dan Ustazah Aspadiah, Malam Kesenian Islam bersama kumpulan nasyid Al Manna dan Fadzli Far East.

Acara lain adalah seperti Malam Selawat Putra Hight, Malam Fikir Zikir bersama Munif Hijjaz dan Hafiz Hamidun serta pakar motivasi  Fuad Arif.

“Kemuncak program adalah Konsert Kemerdekaan bersama Rabbani, Raihan, Ustaz Wan Akashah dan Datuk Ustazah Siti Nurbahyah,” katanya.

Selain memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, karnival itu juga diadakan sempena program Umrah Ziarah 4 Masjid ke Mesir, Makkah dan Madinah bersama Rabbani, Raihan, Ustaz Wan Akashah dan Ustazah Siti Nurbahyah.

“Program ziarah itu dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 23 Mac 2017.

“Ini adalah yang julung kali diadakan umrah dan ziarah berskala besar serta diuruskan Intra Tama Travel,” katanya.

Kepada yang berminat boleh berhubung terus dengan wakil Tahfiz Darul Ulama atau Rabbani@RABBANIGROUP, atau ke Instagram, rabbani_official.

Dalam pada itu, kata Azadan, Rabbani turut melancarkan produk Gold Bar dengan kerjasama Yapeim Gold. Maklumat lanjut layari www.yapeimgold.com.my.