KENANGAN yang terpahat dibenak fikiran sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri pastinya sukar dilupakan.

Begitulah kata penyanyi Haqiem Rusli ketika disogok mengenai momen raya paling dirinduinya.

"Insan paling saya rindu adalah datuk saya kerana dia menjaga saya sejak dari kecil lagi. Hari raya pun saya dah biasa bersamanya. Jadi kehilangan arwah betul-betul terasa," katanya sebak.

Menutup tirai kenangan memilukan hati, Haqiem juga berpuas hati terhadap diri sendiri apabila dapat menggembirakan hati keluarga tercinta.

Jelas figura berusia 19 tahun ini, Syawal pada kali ini lebih bermakna kerana tahun sebelum ini dia belum berkemampuan untuk membeli perabot dan pakaian raya untuk ahli keluarganya.

“Sambutan raya pada tahun ini agak berbeza kerana saya sudah mampu berbelanja untuk hari raya seperti perabot dan baju raya untuk mak serta buat adik-adik, tak berbelanja besar tapi cukuplah.

“Jadi itu satu kepuasan buat saya sebagai seorang anak apatah lagi dapat melihat wajah mak tersayang tersenyum," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan karier, pelantun lagu popular Jatuh Bangun ini bercadang untuk mengeluarkan single terbaharu namun masih lagi dalam fasa perbincangan.