$entry.content.caption.value
Dua bulan lalu, penulis pernah menemu bual, Allahyarham untuk ruangan Nostalgia. Ketika itu, Latif Ibrahim, sudah uzur. Wajahnya pucat menunjukkan penyanyi yang popular dengan lagu Nora ini, sedang menderita.
Enggan gambarnya diambil ketika itu, Latif berkata, kesihatannya semakin tidak menentu dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan masalah jantung dan paru-paru yang dihidapinya.
“Untuk masalah paru-paru, saya memang bergantung dengan ubat. Untuk masalah jantung pula, saya disarankan menjalani pembedahan memasukkan bateri agar jantung saya kembali normal.
“Saya tidak takut dibedah, tetapi kosnya terlalu tinggi, RM120,000 dan saya dalam usaha mendapatkan dana kerajaan," katanya.
Dalam nada sayu, Latif memberitahu, walaupun kesihatan tidak menentu, dia menggagahkan diri menerima undangan di serata negeri bagi mengumpul wang.
“Saya memang sakit, tapi kalau ada persembahan, saya akan cuba menyanyi. Bila menyanyi, hati saya gembira dan seakan lupakan kesakitan.
“Sebab itu, saya masih menerima undangan, tidak kisah di mana. Saya akan pergi selagi terdaya," katanya.
Mengimbau kembali perjalanan seninya, Abdul Latif Ibrahim atau Latif Ibrahim, memulakan karier sebagai pelakon pada tahun 1975, dengan membintangi drama RTM, Di sini Cemerlang Bintangku. Drama-drama terawal lakonannya, Berenang Dalam Lumpur dan Anak Seluang Jatuh Melukut, meletakkan sebagai pelakon berbakat dan seterusnya dilamar membintangi filem. Hapuslah Air Matamu, adalah filem pertama lakonannya bersama Sharifah Aini, sekali gus menaikkan popularitinya. Pada tahun 1978, menyaksikan bakatnya sebagai penyanyi apabila album pertamanya, Mengharap Kasihmu dan Mengenang Dikau Kembali, berjaya mendapat tempat di hati peminat. Malah album keduanya memuatkan lagu Nora dan Manis Kata di Bibir Saja, meneruskan popularitinya.
Pun begitu, sepanjang 20 tahun dalam industri seni, penyanyi seangkatan Uji Rashid, Hail Amir, DJ Dave, Dahlan Zainuddin dan Sharifah Aini, ini tidak pernah menerima pengiktirafan.
Hal ini mengingatkan penulis terhadap hajatnya yang tidak kesampaian.
"Saya teringin menerima anugerah namun apa yang dilihat, artis baru senang diberi anugerah dan gelaran. Sedangkan artis lama seperti kami boleh di bilang dengan jari.
“Lebih menyedihkan mereka hidup mewah, sedangkan kami terpinggir. Nak dapat tawaran pun susah. Sepatutnya, pihak bertanggungjawab memandang serius isu sebegini,” katanya yang pernah menghasilkan tiga album, Raju Negara, Pandang Memandang dan Mengenang Dikau Kembali.
Pernah membintangi filem Dendang Perantau, Sumber Ilhamku dan Ragam Pemandu, abang kepada penyanyi tersohor, Datuk Khatijah Ibrahim, ini masih aktif berlakon dan menyanyi sehinggalah ke akhir hayatnya. 4 Madu arahan A Razak Mohaideen (2010), adalah filem terakhirnya. Latif juga pernah menjayakan teater Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an, di Istana Budaya, Mei lalu. Malah rancangan Inilah... di RTM.
Sebelum pergi, penyanyi kelahiran Melaka ini, juga sempat menghasilkan album baru hasil kolaborasi bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Captain Gulzar Mohamad.
Katanya, album tersebut memuatkan 10 lagu termasuk lagu baru dan lamanya seperti Sabar Menanti dan lagu-lagu popular dendangan Broery Marantika.
“Saya sendiri tidak pernah terlintas untuk menghasilkan album sebegini walaupun masih aktif menyanyi. Tetapi, bagus juga album sebegini kerana ia boleh dijadikan koleksi himpunan lagu-lagu saya dalam album dahulu.
“Kalau ada rezeki, album ini akan menemui peminat....."
Itulah kata-kata terakhir Allahyarham Latif Ibrahim ketika penulis menemu bualnya dulu. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
..........................
Nora
Di redup senja ku terkenang dikau
Wajahmu menjelma dalam hatiku
Terciptalah lagu yang indah
Lukisan hati
Kerlipan bintang-bintang
Di malam sunyi
Matamu menyinarkan
Cahaya kasih murni
Desiran daun-daun
Di angin senja
Suaraku nan beralun
Membisikkan padanya
Nora... Mustika hati ooo dewi
Nora... Permata dalam hidupku
Nora... Mengharum dalam jiwa
Sambutlah laguku untukmu
Desiran daun-daun
Di angin senja
Suaraku nan beralun
Membisikkan padanya
Nora... Mustika hati ooooo dewi
Nora... Permata dalam hidupku
Oooo Nora... Mengharum dalam jiwa
Sambutlah laguku untukmu





