TANPA disedari, dari sehari ke sehari penghayatan manusia pada al-Quran dilihat semakin jauh.

Oleh itu, penganjuran program World #QuranHour dilihat sebagai satu inisiatif terbaik buat seluruh umat Islam.

Tambahan pula, program anjuran Kumpulan Media Karangkraf menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ini berjaya memupuk kesedaran sekali gus mewujudkan semangat mencintai al-Quran di kalangan orang ramai.

Tidak mahu ketinggalan, penyanyi popular, Hafiz Hamidun menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab sosial.

“Saya dah tahu mengenai program ini, sejak tahun lalu, cuma saya tak dapat terlibat secara langsung kerana terikat dengan komitmen lain.

“Tapi, saya tetap memberi sokongan melalui medium media sosial.

“Insya-ALLAH, tahun ini saya tak ada masalah untuk sama-sama terlibat dalam kempen ini kerana ia juga merupakan tanggungjawab peribadi saya,” katanya pada Media Hiburan.

Kembali untuk tahun kedua, World #QuranHour 1438H menekankan proses membaca al-Quran perlulah bermula daripada diri sendiri.

Tujuannya untuk mewujudkan masyarakat berbudi penyayang selaras dengan temanya, A World of Compassion: A Beginning.

Pelantun lagu Jodoh Berdua ini berkata, sesiapa sahaja mampu menjadikan kitab suci ALLAH sebagai satu karya yang digemari seterusnya disanjung.

“Al-Quran sekarang dah jadi bosan. Sebab apa bosan? Sebab kita yang membosankannya. Dah la tak faham, baca pula macam tu saja.

“Jadi, macam mana nak interaktif al-Quran? Kita mahukan pembaharuan tapi masih ada guide line dan tak boleh main hentam saja baca.

“Sebab itu, adanya World #QuranHour, walaupun setahun sekali, baca pula hanya sejam, jadilah daripada tak baca apa-apa sebelum ini,” katanya.

Baginya rasa sayang dan cinta kepada al-Quran boleh ditunjukkan melalui kreativiti masing-masing.

“Bukan saja dengan mengadakan pelbagai kempen tapi kita juga perlu kreatif dari sisi masing-masing.

“Jika dari sudut seni itu sendiri, orang seni sepatutnya hayatinya dengan lebih mendalam apatah lagi al-Quran itu juga satu seni. Bahasanya berseni.

“When it comes to art, saya selalu percaya apa yang kita selalu dengar itulah jiwa kita,” katanya.

Dekati golongan terpinggir

Merealisasikan hasrat, Hafiz mengambil inisiatif untuk mendekati golongan terpinggir secara berhikmah.

Bahkan, menjadi impian selebriti berusia 33 tahun ini, melihat golongan terpinggir kembali menjadi insan mulia sekali gus boleh menyumbangkan sesuatu kepada bangsa dan negara.

“Sebenarnya, kita jangan memandang remeh akan kemampuan mereka.

“Satu ketika dulu, mungkin mereka juga profesional tetapi tersilap langkah.

“Kali ini, saya yakin apabila kita promosi dengan lebih meluas, akan ada golongan-golongan yang mungkin sebelum ini tak pernah dengar dan mungkin akan berminat,” katanya.

Tambahan pula, hubungan antara tujuan dakwah dengan permasalahan sosial yang dihadapi oleh umat adalah relevan seterusnya menjadi kewajipan.

“Bila bercakap mengenai agama, maka wajib untuk kita support dan bantu.

“Lagipun, al-Quran juga satu tuntutan kerana ia menjadi dasar kepada semua rukun Islam,” katanya.

Jelasnya, seiring dengan peredaran zaman, sudah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak untuk memberi kesedaran.

“Pada saya, sekarang ini, ia bukanlah tanggungjawab daripada orang yang tertentu sahaja, sebaliknya ramai pihak.

“Contohnya, buat golongan selebriti, jangan bazirkan masa dan follower anda dengan supply content yang bukan-bukan. Ini dah zaman 2017 dan 60 tahun merdeka, gunakanlah dengan baik dan pintar. Ini bukan zaman untuk diri sendiri sebaliknya pulangkan semula pada masyarakat.

“Apa yang penting, pemikiran kita perlulah diubah lalu memulakan langkah pertama dan seterusnya,” katanya.

Seperti tahun lalu, World #QuranHour 1438H akan diadakan secara serentak di seluruh negara selama satu jam bersempena ibadah wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah ini.

Secara kebetulan, hari tersebut jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos depan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun menunaikan janjinya untuk menyumbangkan RM1,000 kepada setiap pelajar Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Perak yang berjaya memperolehi keputusan 6A dalam UPSR tahun ini.
  • IKATAN pernikahan penyanyi, Hafiz Hamidun dan usahawan kosmetik, Joy Refva akhirnya terlerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling hari ini.
  • PERTIKAIAN yang wujud dalam rumahtangga penyanyi Muhammad Hafiz Hamidun dengan usahawan kosmetik Joy Refva bakal berakhir tidak lama lagi selepas Hafiz memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari jam 1 petang tadi.
  • USAHAWAN kosmetik, Joy Revfa menegaskan dia tidak akan kembali kepada suaminya, Hafiz Hamidun meskipun Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan penceraian yang dilafazkan bekas suaminya, Datuk Mohd Rayus dua tahun lalu sah.
  • AHLI Perniagaan, Datuk Rayos Abdul Rahim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan fitnah dalam kemelut perkahwinannya bekas isterinya, Siti Arifah Amin bersama penyanyi, Hafiz Hamidun.