KUALA LUMPUR - Golden Screen Cinemas Sdn Bhd akan membuka lapan pawagam baru yang berharga lebih RM84 juta tahun ini, kata Ketua
Pegawai Eksekutifnya, Koh Mei Lee.

Beliau berkata GSC akan menambah 71 lagi skrin atau dewan pawagam kepada 23 lokasi semasa pawagamnya di seluruh negara, kepada sebanyak 191 skrin.

Pawagam baru berkenaan merupakan GSC Setia City Mall dengan sembilan skrin di Shah Alam, yang akan dibuka pada Mei, GSC Paradigm Mall dengan sembilan skrin di Kelana Jaya, juga pada Mei, GSC City One Mall dengan 10 skrin di Kuching (suku ketiga 2012), GSC Palm Mall dengan 10 skrin di Seremban, Amanjaya Mall dengan lapan skrin di Sungai Petani dan GSC Nu Sentral dengan 11 skrin di Kuala Lumpur, semua pada suku keempat tahun ini.

Bercakap pada majlis sambutan ulangtahun ke-25 syarikat itu di sini malam tadi, Koh berkata GSC juga telah melancarkan "GSC Lite", penjenamaan baru untuk
pawagam di bandar kecil yang akan menawarkan harga yang kompetitif tanpa kompromi kesan skrin besar dan pengalaman bunyi digital dewan yang terdapat
dalam panggung wayang GSC lain.

Pawagam baru di bawah penjenamaan GSC Lite adalah GSC Mentakab Star Mall dengan enam skrin, yang akan dibuka minggu depan, dan GSC Bintang Mall
dengan sembilan skrin di Miri, yang akan dibuka pada November.

Pawagam yang ada sekarang, GSC Pelangi Leisure Mall di Johor Bahru, GSC Central Square di Sg Petani, GSC Ipoh Parade di Ipoh, GSC Terminal 1 di Seremban
dan GSC Berjaya Megamall di Kuantan akan ditukar kepada panggung wayang GSC Lite.

Pegawai lain yang turut hadir pada sambutan berkenaan termasuk Irving Chee (Pengurus Besar GSC), Liew Aing Suan (Pengurus Kanan Cinema Exhibition), Heng
Beng Fatt (Pengurus Kanan, Perkhidmatan Korporat) dan Tung Yow Kong (Pengurus Kanan, GSC Movies).
   


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.