SEMPENA meraikan sambutan ulang tahun Suria ke-10, penyampai Suria FM bakal muncul dalam konsert kemuncak yang bakal berlangsung di Darul Aman Park, Jitra Kedah, esok.

Konsert Suria 10 tahun ini dianjurkan bagi menghargai sokongan lebih 2 juta pendengar setia Suria selama 10 tahun bersiaran.

Menariknya, konsert kali ini menyaksikan gandingan artis baru dan lama yang bakal beraksi menghiburkan penonton pada konsert tersebut.

Antaranya Datuk Awie, Bunkface, Azlan & The Typewriter, Tomok, Hazama, Black, Aiman Tino, Wany Hasrita dan De’Fam.

Menurut Pengurus Program Suria FM, Roslinda Abd Majid, konsert kemuncak ini menjadi hadiah paling istimewa buat pendengar mereka.

“Ini hadiah kami dalam memberi memori indah kepada pendengar dan pengikut setia Suria sebagai penutup 2017.

“Tidak cukup rasanya dengan hanya mengucap terima kasih kepada mereka yang sebahagian besarnya telah menyokong kami daripada awal lagi.

“Kami di Suria akan sentiasa berusaha beri pengisian terbaik di samping lagu terkini kepada pendengar,” katanya.

Selain persembahan artis, penyampai Suria juga bakal tampil dengan gimik persembahan mereka sendiri untuk menghiburkan penonton.

Bukan hanya menyanyi, tetapi mereka juga akan buat kelainan dengan persembahan tarian.

“Kami sudah memulakan latihan sejak dua minggu lalu dengan bantuan anggota kumpulan De’Fam iaitu Cik Manggis.

“Tentunya ia bukan perkara yang mudah, namun inilah antara kesungguhan kami untuk menghiburkan peminat yang datang pada malam tersebut.

“Tidak sekadar itu, sebenarnya banyak lagi perkara menarik yang berlaku di konsert ini di mana kami telah menyediakan pelbagai aktiviti sampingan lain yang pasti akan menjadi kenangan terindah mereka yang hadir,” ujarnya lagi.

Barisan penyampai Suria FM terdiri daripada DJ Lin, Halim Othman, Bob Ringgo, Tyzo, Fizi Ali, Zulin Aziz, Suraya Borhan dan Brain Chen.

Dalam pada itu, pihak Suria turut menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung ke Konsert Suria 10 Tahun yang diadakan secara percuma itu.

“Alhamdulillah, setiap kali Suria mengadakan konsert jelajah di seluruh negara, kami sentiasa mendapat sambutan yang hebat daripada pendengar.

“Jadi kami mengharapkan agar sambutan yang lebih hebat lagi akan diberikan untuk konsert istimewa sempena ulang tahun Suria yang ke-10 ini,” katanya.