Aizat Amdan
$entry.content.caption.value

Biarpun usianya masih muda, namun setiap lagunya pasti mendapat perhatian peminat muzik di Malaysia.

Penyanyi Aizat Amdan, bertuah dikurniakan pakej lengkap, dengan kebolehan bermain alat muzik, boleh mencipta lagu dan juga memiliki vokal yang baik untuk dirinya terus bertahan dalam industri.

Sungguhpun pernah terkandas sewaktu memasuki program realiti Akademi Fantasia, namun ia tidak pernah mematahkan semangat anak muda ini untuk terus menghasilkan karya terbaik.

Telah menghasilkan dua album berbahasa Melayu sebelum ini, Aizat kini semakin berani mengorak langkah dengan mempersembahkan lagu dalam bahasa Inggeris untuk album ketiganya yang dijangka akan keluar tahun ini.

Menurut penyanyi berusia 23 tahun ini, hasratnya untuk menghasilkan album Inggeris telah lama dirancang.

Namun, katanya, kesibukan menulis lagu menyebabkan anak kelahiran Kuala Lumpur ini belum sempat untuk merealisasikan impian itu.

“Album ketiga nanti adalah album berbahasa Inggeris dan kini saya masih dalam proses memilih lagu.

“Setakat ini, 16 lagu sudah disiapkan namun bukan semua lagu akan dimuatkan dalam album tersebut,” katanya yang akan turut memuatkan beberapa lagu Melayu dalam album tersebut.

Mengulas mengenai konsep lagu Melayu yang ingin diketengahkan dalam album itu, Aizat mengaku dirinya tertarik dengan irama muzik lagu-lagu lama era 60-an dan 70-an.

Pelantun lagu Sungai Lui dan Susun Silang Kata ini merasakan lagu-lagu berentak retro seperti itu mempunyai keaslian tersendiri dan semakin mendapat tempat peminat masa kini.

“Apabila mendengar lagu-lagu lama seperti lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk A Rahman Hassan, saya terfikir untuk menghasilkan irama seperti itu dengan susunan muzik yang moden.

“Pada pendapat saya, lagu-lagu lama mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri. Apabila melihat penulisan lagu-lagu itu, saya merasakan ia begitu asli dan liriknya juga ringkas dan mudah difahami,” katanya yang menganggap susunan muzik dan lirik amat penting dalam menghasilkan sesebuah lagu.

Justeru itu, Aizat ingin menghasilkan konsep berbeza untuk lagu Melayu pada kali ini dengan menumpukan kepada susunan muzik dan bunyi.

Katanya, konsep lagu itu nanti akan menampilkan lirik yang mudah diingati, tidak terlalu kompleks dan mempunyai mesej yang jelas kepada pendengar.

Album tersebut akan memuatkan lebih 10 lagu baru dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan akan menjalani rakaman pada pertengahan Februari ini.

Dalam pada itu, Aizat turut menyuarakan hasratnya untuk menyambung pengajian dalam bidang muzik di United Kingdom pada tahun ini.

“Sudah lama saya berhasrat untuk sambung belajar, namun masih belum menemui waktu yang sesuai. Jadi, selepas lahirnya album ketiga ini, saya akan tumpukan kepada pelajaran pula,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.