$entry.content.caption.value
Anugerah Golden Globes 2012 yang berlangsung di The Beverly Hilton Hotel, California, melabuhkan tirai dengan mencatatkan pencapaian paling manis buat aktor George Clooney.
Biarpun banyak menang anugerah sepanjang kariernya sebagai pelakon, namun aktor yang juga pengarah filem, penerbit dan penulis layar ini menerima pengiktirafan apabila filem terbitan dan lakonannya, The Descendants memenangi hadiah utama Golden Globes menerusi Filem Terbaik-Drama.
Tidak hanya berjaya menggondol hadiah utama, Clooney turut ditabalkan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) menerusi The Descendants.
Perlu bersaing dengan Leonardo DiCaprio menerusi drama J Edgar, Michael Fassbender (Shame), Ryan Gosling (The Ides Of March) dan Brad Pitt (Moneyball), Clooney nyata menang ‘bergaya’ dengan menewaskan pesaing yang tidak kurang hebatnya.
Kejayaannya pada anugerah berprestij yang mengangkat karya-karya terbaik sepanjang 2011 itu membuktikan umur bukan penghalang selebriti kekal memberikan yang terbaik.
Mengimbau saat pembabitannya dalam dunia seni, Clooney atau nama sebenarnya George Timothy Clooney mula berlakon pada 1978 sebagai pelakon ekstra dalam siri Centennial.
Bermula dari situ, kerjayanya berkembang sehingga dia muncul dalam sitkom pendek E/R pada 1984.
Tidak terhenti setakat itu, Clooney turut berlakon sebagai buruh kasar dalam siri The Facts of Life, menjadi detektif, Bobby Hopkins dalam episod The Golden Girls, memegang watak tambahan dalam sitcom Roseanne, Baby Talk dan Return of the Killer Tomatoes.
Bermula dengan watak 'tempelan'
Walaupun pada awal pembabitannya dia hanya menerima watak tempelan, namun perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertapak dalam dunia seni.
Bakat Clooney mula dikenali menerusi watak sebagai Dr Douglas dalam drama perubatan, ER mulai 1994 sehingga 1999.
Malah, rezekinya ketika penggambaran ER semakin mencurah-curah apabila anak kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat ini mula menerima watak utama filem Batman & Robin pada 1997 dan filem Out of Sight (1998).
Dalam pada itu, kemunculan Clooney untuk filem Ocean’s Eleven pada 2001 turut dinanti-nantikan peminatnya.
Ocean’s Eleven trilogi filem yang dilakonkan semula bersama rakannya dari The Rat Pack dan Frank Sinatra yang memegang watak sebagai Danny Ocean.
Masih tidak berpuas hati memegang peranan sebagai pelakon, Clooney mencari lebih kepuasan dengan menceburi belakang tabir sebagai pengarah dan muncul dengan karya biografi filem seram, Confessions of a Dangerous Mind pada 2002.
Selain itu, Clooney yang kini berusia 51 tahun turut mengarah untuk filem Good Night and Good Luck (2005), Leatherheads (2008) dan The Ides of March (2011).
Kejayaan demi kejayaan diraih sepanjang pembabitannya dalam dunia seni. Pada 2006, Clooney menerima Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Syriana semasa Academy Award. Selain itu, Clooney dicalonkan Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik untuk filem Good Night, and Good Luck pada Academy Award 2006.
Clooney juga muncul sebagai selebriti pertama dalam sejarah Oscar yang menerima pencalonan untuk pengarahan dan berlakon pada tahun sama.
Sememangnya, nama Clooney tidak pernah putus dicalonkan untuk Academy Award. Pada 2008, Clooney tercalon lagi sebagai Aktor Terbaik untuk lakonannya menerusi filem Michael Clayton (2007).
Selain itu, karya-karya Clooney juga turut tercalon dalam Golden Globe, Screen Actors Guild Award dan BAFTA.
Tahun 2010 menyaksikan kemunculannya dalam filem The American berdasarkan novel A Very Private Gentleman oleh Martin Booth dan diarahkan oleh Anton Corbijn.
Dalam filem itu, Clooney memegang peranan sebagai tunjang utama dan juga penerbit bersama filem The American.
Sering bertukar teman
Sebagai selebriti, kehidupan peribadinya pasti menjadi perhatian peminat.
Clooney pernah berkahwin dengan pelakon Talia Balsam pada 1989 dan mereka sepakat bercerai pada 1993.
Selepas peristiwa itu, Clooney pernah mengeluarkan kenyataan dia tidak akan berkahwin lagi.
Kehidupannya tetap diteruskan dan pada 2000, pintu hatinya mula terbuka dengan seorang model British, Lisa Snowdon yang ditemui semasa set penggambaran iklan Martini.
Namun, hubungan mereka hanya bertahan lima tahun sahaja.
Pada Jun 2007, Clooney mula menjalin hubungan dengan bintang realiti, Sarah Larson, tapi hubungan mereka terputus pada Mei 2008.
Pada Julai 2009 sehingga Jun 2011, Clooney berkasih pula dengan aktres Italy, Elisabetta Canalis.
Mengambil masa sebulan selepas putus hubungan dengan Elisabetta, Clooney mula berpacaran dengan bekas Diva WWE, Stacy Keibler pada Julai 2011 sehinggalah kini.





