Filem seram Azhari Zain menjadi
$entry.content.caption.value

Tidak perlu menghidangkan pelakon ternama, dihiasi perhiasan mewah, namun filem kelapan arahan Azhari Zain, Hantu Dalam Botol Kicap (HDBK) masih punya keistimewaan tersendiri.

Malah tidak keterlaluan mengatakan, kecenderungan Azhari mungkin perlu ditumpukan kepada filem seram komedi berbanding filem seram kerana nampaknya garapan Azhari lebih kemas berbanding filem arahannya sebelum ini.

Mengetengahkan pendatang baru seperti Mon Ryanti, Mikael Andre, Zalif Sidek, Wawa Zainal, Epy Raja Lawak, Azrul Anwar, Wak Dee, dan dibantu pelakon berpengalaman seperti Maimon Mutalib serta Angah Raja Lawak, penonton pasti pecah perut dengan komedi bersahaja.

Malah naratif penceritaan yang mudah dengan dialog tidak meleret, mencantikkan lagi jalan cerita filem ini yang berkisar mengenai Aminah dan suaminya, Hussin pulang ke kampung bersama tiga anak mereka, Azri, Epul dan Rina. Hari pertama tiga beradik itu di rumah Nek Temah, mereka diberitahu pantang larang di rumah tersebut. Pertama,

mereka tidak boleh keluar rumah selepas maghrib dan kedua, mereka tidak boleh masuk bilik misteri yang diikat selempang merah. Pada suatu hari, Nek Temah menyuruh cucu-cucunya menangkap, mencabut bulu dan menyembelih ayam. Nek Temah ingin mengajar mereka agar bekerjasama dan akhirnya mereka berjaya menyempurnakan tugasan itu.

Semasa makan, Rina teringin untuk makan nasi bersama kicap. Epul mencadangkan agar mereka membuka pintu misteri tersebut. Ketika pintu terbuka, tangan Rina luka dan Epul menggunakan kain pengikat botol untuk membalut tangan kakaknya.

Bagi pelakon baru seperti Mikael Andre, Mon Ryanti dan Zalif Sidek yang membawakan watak tiga beradik, dilihat tidak keterlaluan atau terlalu melebih-lebih, khususnya Mikael yang membawakan wataknya dengan bersahaja.

Malah seperti tidak kelihatan filem ini percubaan pertamanya untuk menginjak ke dalam bidang seni ini. Begitu juga Zalif Sidek, kecomelan bentuk badannya mungkin menjadikan kaletah Zalif mendapat perhatian penonton.

Dari segi sinematografi, pengalaman Azhari dalam pembikinan filem seram, banyak membantunya mendapatkan syot dan pencahayaan yang bersesuaian dengan jalan cerita yang dipamerkan.

Bagi mengetahui apakah yang akan terjadi kepada nasib tiga beradik yang melanggar pantang larang nenek mereka, saksikan HDBK yang mula ditayangkan di pawagam, semalam!


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.